Aveta Malaysia telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Eragene ICT Sdn Bhd bagi membekalkan motosikal elektrik yang terkini kepada warga universiti di dalam satu Majlis Sambutan Jubli Emas Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dr. Zamberi Sekawi,Timbalan Naib Canselor UPM.
Memorandum ini merupakan satu inisiatif Aveta Malaysia dengan Eragene ICT dalam merevolusikan pengangkutan dimana pelajar ditawarkan dengan alternatif yang lebih mudah, mesra alam dan kos-efektif untuk bergerak di sekitar kampus.
Majlis menandatangani MoU ini telah disaksikan olehYBrs. Prof. Madya Dr. Nor Azwady Abd Aziz, Dekan Fakulti Sains, UPM.
Kerjasama antara Aveta Malaysia dan Eragene ICT menandakan komitmen bersama terhadap tanggungjawab memelihara kemampanan dan kelestarian alam sekitar selain memperkasa inovasi bagi mempromosikan penggunaan teknologi hijau dikalangan komuniti warga universiti.
Aveta Malaysia berperanan membekalkan motosikal elektrik model LX02, sebuah model terkini yang direka sesuai sebagai pengangkutan dalam bandar. LX02 ini dikuasakan oleh motor BOSCH 2050W, menawarkan penggunaan tenaga yang lebih efisien.
Ciri-ciri utama LX02:
• Sistem Bateri Dual: Mencapai kelajuan sehingga 60km/j dan merangkumi jarak perjalanan sehingga 150km dengan satu cas.
• Brek Cakera: Brek cakera hadapan dan belakang menyediakan keupayaan brek yang responsif dan boleh dipercayai.
• Paparan Digital LCD: Menawarkan maklumat penting seperti kelajuan, status bateri, dan butiran perjalanan kepada penunggang.
• Lampu hadapan LED: Memiliki daya ketahanan lebih lama serta pencahayaan lebih terang
• Berat Kosong: Dengan berat hanya 71kg, LX02 memastikan kestabilan dan mudah dikendalikan.
• Infrastruktur Pengecasan: Dijana oleh pek bateri lithium-ion 60V satu slot menerusi pengecasan penuh dalam tempoh 3 jam.
Kehadiran model ini juga bagi menyokong penuh usaha Kerajaan yang memperkenalkan inisiatif Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik dibawah kelolaan MARiiCas melalui pemberian rebat tunai sebanyak RM2,400.
Eragene ICT akan berkolaborasi dengan UPM untuk menetapkan infrastruktur pengecasan yang meluas di dalam kampus bagi memastikan warga universiti mempunyai akses yang mudah untuk mengecas motosikal elektrik mereka. Infrastruktur ini bertujuan menyokong keperluan pengangkutan di samping dapat mengurangkan “kebimbangan jarak” pengangkutan harian pelajar.
Pengarah Urusan Kumpulan Aveta Malaysia, Encik Steven Lim berkata, “Aveta sangat bersemangat untuk berkolaborasi dengan Eragene ICT dalam mempromosikan penyelesaian mobiliti yang mampan. Dengan menyediakan motosikal elektrik kepada warga universiti, kami akan terus komited dalam merealisasikan usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menjadikan Malaysia sebuah negara yang neutral karbon menjelang 2050. Kerjasama ini juga sejajar dengan komitmen kami untuk menyokong aktiviti kelestarian hijau untuk generasi yang akan datang.”
Comments
Loading…