in

GEAR SHIFTER TERBARU DARI TUNEBOSS

ShiftBoss 2.0 Lebeh Tangkas Dan Padu Trokkk!

Masih hangat dari pelancaran ECU TuneBoss generasi kedua baru-baru ini, syarikat yang berlandaskan teknologi itu kali ini melancarkan pula ShiftBoss 2.0. untuk digunakan dengan ECU mereka.

ShifhtBoss boleh digunakan pada kedua-dua generasi ECU TuneBoss termasuklah dari Stage 1 hingga Stage 3 pada ECU TuneBoss Gen2. Secara amnya, ShiftBoss adalah sistem “quickshifter”, iaitu satu alat khas yang membantu penunggang menukar gear dengan pantas, tanpa perlu menarik klac dan menutup pendikit.

Walaupun teknologi quickshifter bukanlah sesuatu yang baru, tetapi TuneBoss berjaya membawa teknologi yang sebelum ini hanya ditawarkan pada motosikal berkuasa tinggi kepada hampir semua model-model motosikal yang dipasang dengan ECU TuneBoss. Spa2 yang pasang ECU Tuneboss, otomatik buleh pasang quickshifter ShiftBoss 2.0 nih Nohhh!

Dengan kerja penyelidikan dan pembangunan yang memakan masa selama dua tahun, ShiftBoss 2.0 adalah lebih fleksibel dan mempunyai tahap kebolehkepercayaan yang lebih tinggi berbanding ShiftBoss versi lama.

“Sehingga hari ini, terdapat lebih dari 30,000 pengguna ECU TuneBoss sejak ia dilancarkan tujuh tahun yang lalu pada 30 Oktober 2014. Setakat ini, hanya sekitar 10% yang telah memasang modul quickshifter, ini mungkin disebabkan oleh kerana ShiftBoss versi lama hanya direka untuk dua model sahaja”, kata CEO FSR Technology, Farhan Ali.

“Sekarang, selain dari dua model itu, iaitu Yamaha FZ150i dan Y15ZR, ShiftBoss 2.0 juga sesuai untuk model-model lain seperti R25, R15, MT-15, Y16 dan Honda RS150r”.

Dijual pada harga RM250, ShiftBoss 2.0 menggunakan sistem inovatif yang menjadikan ia sangat mampu milik jika dibandingkan dengan sistem quickshifter yang lazimnya menggunakan sistem “load cell”.

“Untuk sistem ShiftBoss 1.0, kami tidak menyedari bahawa betapa uniknya sistem itu, oleh itu kami tidak memohon perlindungan harta intelek (IP). Untuk ShiftBoss 2.0, kami telah belajar dari pengalaman. Kami tahu sistem kami unik dan inovatif dan kami telah mengambil langkah untuk memastikan IP kami dilindungi”, jelas Farhan.

Dari segi penggunaan, penguji ShiftBoss 2.0 yang biasa dengan quickshifter jenis load cell mengatakan ‘perbezaan rasa’ terlalu sedikit kalau dibandingkan antara dua sistem itu tetapi kalau dibandingkan dengan ShiftBoss yang lama, ShiftBoss 2.0 rasa lebih lancar untuk digunakan.
Pengguna ShiftBoss lama boleh menaiktaraf kepada sistem yang baru dengan hanya perlu menukar bahagian perkakasan pada harga RM100 saja. Sebagai peringatan, perkakasan yang dibeli selain dari pengedar TuneBoss tidak akan berfungsi kerana ia perlu diaktifkan dengan kunci elektronik yang datang sekali dengan setiap kit ShiftBoss.

Dan seperti ECU TuneBoss, ShiftBoss 2.0 hanya boleh didapati dari 49 pengedar sah TuneBoss diseluruh Malaysia.
Sebagai contoh, pemilik motosikal jenis MT-15 atau Y16 boleh menikmati prestasi yang lebih mantap dari mesin mereka dengan hanya membelanjakan RM649. RM399 untuk ECU TuneBoss Stage 1 dan RM250 untuk ShiftBoss 2.0 termasuk pemasangan dan mapping untuk enjin standard.

Maklumat Tambahan:
Apa itu TuneBoss?
TuneBoss adalah ECU berteknologi tinggi yang direka khas untuk motosikal berkapasiti kecil.
Diperkenalkan pada tahun 2014, TuneBoss merupakan ECU yang pertama di pasaran dunia yang boleh diprogram sepenuhnya melalui teknologi Bluetooth.

TuneBoss memberikan keupayaan pelarasan sepenuhnya pada pancutan bahan api, penyalaan silinder termasuk kawalan maksima RPM. Selain itu ia juga boleh ditambah dengan pelbagai modul ciri tambahan seperti ciri quickshifter, launch control dan banyak lagi akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Juga buat pertama kali boleh dapati untuk motosikal berkapasiti kecil ialah sistem pengawalan penyuntik bahan api tambahan (dual injector), sistem talaan sudut penyuntik bahan api dan sistem kawalan pam penyejuk jenis elektrik (PWM) pada TuneBoss Gen2.
Kemudahan penggunaan adalah salah satu pertimbangan utama TuneBoss, termasuklah pemasangan yang senang dengan ciri Plug and Play yang mudah. Tiada pemotongan wayar perlu dilakukan.

Melalui aplikasi Android TuneBoss Manager Pro, pengguna hanya perlu memuat turun tetapan pratetap yang telah dioptimumkan bergantung pada modifikasi yang telah dilakukan pada motosikal.

Keupayaan talaan sepenuhnya juga boleh dilakukan melalui aplikasi itu oleh juruteknik terlatih.
Aplikasi TuneBoss Manager Pro juga memberikan bacaan data masa sebenar dengan ciri rakaman data. Ia juga dapat membantu mengurangkan masa membuat diagnostik kerosakan dengan memaparkan masaalah enjin secara tepat.

Model motosikal yang boleh menggunakan ECU TuneBoss adalah :-
Yamaha: FZ150i, Lagenda, NMax V1, Y15, Y16, MT15, R15, R25,
Honda: Wave Fi, CBR 250, RS150

What do you think?

Written by Ripoter Kapcai

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Kedai CFMOTO SHOP Yang Pertama di Kuala Lumpur !

TEST RIDE CFmoto 250NK