Pasukan Jetron Yamaha YYPang Racing Team pada telah mengumumkan barisan pelumba pasukannya dan merasmikan ibu pejabat YYPang terbaru sempena musim ke-31 Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix.
Majlis tersebut merakamkan kehadiran En Goh Bee Thong, Pengarah Urusan Hi Jet Marketing (M) Sdn. Bhd, En. Taketoshi Takabayashi, Pengarah Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd. dan En Ron Hogg, Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn. Bhd. En Pang Yok You (Sifu YY Pang), pengasas dan pemilik pasukan dan En Gary Pang, Penyelaras Pasukan Jetron Yamaha yang telah bersama-sama merasmikan upacara perasmian.
Menurut En Pang Yok You, “Kami amat berbangga dengan pencapaian pasukan kami secara keseluruhan pada musim lepas terutamanya di kategori CP125. Walaupun persaingan agak sengit sepanjang musim tersebut, pelumba-pelumba kami bersama-sama pasukan serta krew telah meneruskan semangat berjuang dan telah tampil dengan prestasi yang hebat untuk memastikan kedudukan kami kekal di tangga tiga teratas. Musim ini juga semestinya mencabar, lebih-lebih lagi dengan penyertaan pelumba-pelumba pasukan lain yang berkemahiran tinggi dan berkaliber namun begitu, kami agak yakin dengan kebolehan pasukan kami dan mana-mana kekurangan yang dihadapi akan diatasi bersama-sama.”
Berikutan itu, pasukan tersebut telah mengumumkan barisan pelumba yang akan menyertai sukan permotoran Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix. Di antara mereka, Md Idil Fitri Mahadi akan meneruskan persaingan di kategori CP150 bersama Md Fareez Afeez yang akan mara ke kategori tersebut setelah bersaing di kategori CP125 selama enam tahun. Turut menyertai mereka adalah Md Aiman Tahiruddin, pelumba baharu bagi pasukan tersebut.
Bagi kategori CP125 pula, Md Khairi Ashraf, juara bertahan dan Md Shafiq Ezzariq, naib juara kategori CP125 akan meneruskan semangat berlumba mereka bersama Abdullah Qayyum Razak yang akan menyertai pasukan YYPang untuk musim ini.
YYPang turut merasmikan ibu pejabat baharu mereka di Bukit Jelutong, Shah Alam setelah 25 tahun beroperasi di kawasan Sri Muda. Dengan perasmian bangunan baharu ini, YYPang berazam untuk memberikan kemudahan “one-stop-centre” yang akan mengurangkan beban pembelian bagi para pelanggan mereka.
Gary Pang berkata, “Ibu pejabat baharu ini akan beroperasi sebagai pusat pameran, pusat servis, gudang dan juga bahagian sukan pemotoran kami. Dengan ini, kami berharap dapat memberikan pelanggan-pelanggan kami suatu kemudahan yang dapat mempercepatkan proses pembelian motosikal, alat-alat tukar ganti, aksesori dan servis motosikal yang diperlukan, semua di bawah satu bumbung.
“Sememangnya, penempatan semula ini adalah suatu perubahan yang agak besar bagi kami namun begitu, ia adalah sesuatu yang harus dilakukan disebabkan oleh ancaman banjir yang sering berlaku di kawasan Sri Muda. Walau bagaimanapun, perubahan lokasi ini tidak akan menggugat khidmat kami kepada para pelanggan kami. Dengan tempat yang lebih kondusif, kami akan terus berusaha untuk meningkatkan mutu dan kualiti produk dan servis kami”.
Selamat Maju Jaya Buat Tim YYPang!
Teros Rock N Ride Nohhh!
Comments
Loading…