Hong Leong Industries Berhad (HLI) melalui anak syarikatnya TEKHNE Sdn Bhd melancarkan secara rasmi pengeluaran produk alat ganti motorsikal dan kereta buatan Tekhne.
Jenama baharu ini menawarkan rangkaian pengeluar peralatan asal (OEM) dan alat ganti pengeluar peralatan (REM) untuk kedua-dua segmen 2 dan 4 roda. Pengumuman yang dilakukan oleh Prof. Datuk Dr Jim Khor Mun Wei, menandakan satu permulaan era baharu dalam bidang pengeluaran alat ganti dan aksesori motorosikal dan kereta tempatan.
Bagaimanapun Prof. Datuk Dr Jim Khor menjelaskan, untuk peringkat awal pengeluaran, Tekhne akan memberi lebih tumpuan kepada pengeluaran alat ganti dan eksesori untuk motorsikal di peringkat tempatan dan Asean sebelum melebarkan sayap perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa. Pengeluaran untuk alat ganti dan eksesori 4 roda juga akan dilakukan secara berperingkat.
“Dengan meneroka pasaran baru dalam bidang pengilangan alat ganti tempatan dan Asean yang bernilai lebih RM380 billion setahun akan memberi peluang baharu kepada Hong Leong Industries Berhad (HLI) untuk meningkatkan pendapatan tahunan syarikat kami”, kata Prof. Datuk Dr Jim Khor dalam ucapan perasmian pelancaran produk jenama Tekhne baru2 ini.
“Pasaran bagi alatan OEM dan REM bagi rantau Asean dicatatkan pada sekitar RM380 bilion dan nilai tambah dalam pasaran produk automotif di Malaysia di jangka mampu mencecah sehingga RM39.74 bilion pada 2024 dengan jangkaan kadar pertumbuhan tahunan berkompaun (CAGR) berjumlah 5.71 peratus daripada 2024 hingga 2028,” kata Prof. Datuk Dr Jim Khor Mun Wei yang juga merupakan Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Industries Berhad.
Antara produk Tekhne yang dipamerkan pada hari pelancaran ialah penyerap hentak belakang, brek cakera, tayar, rim motorsikal dan kereta, top box 45 liter, bateri 12v, ekzos Yamaha R1, ekzos Yamaha Y15ZR, minyak pelincir, silinder head, silinder block, piston dan lain lain. Dengan tawaran kualiti yang terbaik, Tekhne yang membawa tema ‘Moving the Future’, yakin mampu menjadi peneraju dan pengeluar produk permotoran “aftermarket” yang berkualiti dan mendapat sambutan baik di Malaysia dan Asean dalam masa beberapa tahun akan datang.
Dengan peningkatan jualan motorsikal baharu dan lama (secondhand), pasaran alat ganti dan eksesori motorsikal tempatan dan rantau Asean juga akan berkembang dengan pesat seiring dengan perkembangan penjualan kenderaan tersebut dan nilai jualan alat ganti dan aksesori motorsikal tempatan mampu mencecah sehingga puluhan billion RM setahun.
Untuk memastikan Tekhne sentiasa berada dihadapan pengeluaran alat ganti dan eksesori kenderaan 2 roda dan 4 roda, Tekhne juga merancang untuk membangunkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) sendiri di samping menjalinkan kerjasama dengan rakan strategik tempatan dan dari negara serantau yang lain bagi meneroka pasaran lebih luas pada masa akan datang.
Tekhne juga merancang mengembangkan pengeluaran produknya kepada kenderaan elektrik (EV) yang bakal menjadi kenderaan yang pilihan ramai di seluruh dunia di masa akan datang.
Comments
Loading…