Jika sekali pandang, pasti peminat motor menyangkakan motorsikal ini adalah jenis Suzuki Bandit namun sebenarnya ia merupakan motorsikal Suzuki GSX750 Inazuma. Motorsikal ini amat jarang kelihatan di Malaysia berbanding motorsikal ‘muscle bike’ yang lain seperti Bandit dan Zephyer. Nama Inazuma diambil dari nama empat buah kapal pemusnah tentera laut Jepun ketika Perang Dunia ke 2. Motorsikal ini lebih banyak memasuki pasaran Eropah.
Model ini diperbuat dari tahun 1998 hingga 2000 dengan kekuatan enjin 4 lejang, 4 silinder, DOHC dan 4 valve per silinder dan amat sesuai dengan penunggangan secara tourer. Dengan kekuatan enjin sebanyak 750cc dengan 86 kuasa kuda, ia menggunakan penyejukan minyak dan cecair membuatkan ia lebih ekonomi.
Dengan kerangka jenis tiub, dilengkapi dengan lengan ayun aluminium berkembar, menjadikan ia sebuah jentera yang stabil terutama ketika mengambil selekoh. Penampilan Suzuki GSX750 Inazuma yang agak retro ini agak selesa untuk ditunggang untuk perjalanan yang jauh serta sesuai untuk penunggang pelbagai saiz kerana ketinggian pelana yang tidak terlalu tinggi.
Motorsikal Suzuki GSX750 Inazuma yang dipandu uji oleh Majalah Kapcai merupakan milik Group Kadiir Retro. Motor ini diuji dengan penunggangan jarak jauh dari Kelantan ke Kuala Lumpur melalui laluan Gua Musang dan ia tidak mengecewakan. Dengan penggunaan petrol yang jimat, dengan purata kelajuan dalam 120 hingga 140 km/j hanya mengambil masa 5 jam sahaja dari Tanah Merah ke Plaza Tol Gombak. Walaupun sudah menjangkau 18 tahun, motorsikal ini masih mantap dan bertenaga. Bagi penggemar motorsikal muscle bike dan retro, Suzuki GSX750 Inazuma merupakan pilihan yang tepat untuk ride dan bergaya Senmper Jerrr!
Rock N Ride Teros Nohhh!
Comments
Loading…