Pusingan Ketujuh Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix telah berlangsung di Litar Permotoran Terengganu baru2 ini. Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing telah menjuarai kategori CP150.
Di sesi “Super-Pole”, Akid Aziz dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing team mencatatkan masa terpantas pada 48’671s diikuti oleh rakan sepasukannya Afif dengan catatan masa terpantas pada 48’760s. Di petak grid ketiga adalah Faiz Zekri dari pasukan GIVI Tekhne Yamaha dengan catatan masa terpantas pada 48’886s.
Perlumbaan bermula dengan Afif di kedudukan P1 diikuti oleh rakan sepasukannya, Akid di P2. Di P3 adalah Faiz. Sebelum berakhirnya lap kedua, Akid memintas Afif. Di P4, Iqbal cuba mendekati Faiz sebelum di pintas oleh Izzat. Di lap kelima, Izzat membuka langkah untuk memintas Faiz dan berjaya ke P3. Sementara itu, pelumba-pelumba sepasukan yang berada di hadapan meneruskan perlumbaan secara konsisten. Walaupun Afif memberikan tekanan kepada Akid, Akid tidak mengalah dan tampil dengan strategi yang mantap untuk mengekalkan kedudukannya.
Di P4, Faiz cuba menutup jurang dengan Izzat tetapi Haziq di P5 memintas Faiz sebelum terjatuh. Kasma di lap 5 mula mengejar Faiz sebelum memintasnya. Tujuh lap lagi untuk menamatkan perlumbaan, Akid dan Afif masih di kedudukan yang sama dengan jurang 0.084s. Kasma mula mendekati Izzat di lap ke-15 dan berjaya memintasnya dari dalam di selekoh pertama. Izzat mengalami masalah jentera dan tidak dapat menamatkan perlumbaan. Di lap terakhir, Afif teruskan saingannya dengan Akid sebelum membuka langkah untuk memintas dari dalam. Akid hampir hilang kawalan tetapi berjaya mengawal jenteranya. Afif meneruskan perlumbaan sebelum menamatkannya di kedudukan pertama pada 16’20:549s.
Menurut Afif, “Cabaran pada perlumbaan ini adalah persaingan sengit daripada rakan sepasukan saya. Akid memang mempunyai “pace” yang sangat kuat pada perlumbaan tadi. Saya cuba ikuti dia dari lap pertama sehingga ke lap kedua terakhir sebelum memintas, di selekoh sebelah kiri. Rancangan saya memang untuk mendapat tempat pertama maka saya mengatur strategi yang betul dan Syukur, strategi tersebut berjaya. Litar ini adalah antara trek kegemaran saya. Ia adalah trek yang kecil tetapi “high-speed” turn. Itu memberikan cabaran kepada semua pelumba untuk mempunyai “setup” yang lebih baik dari segi suspension. Saya amat puas hati minggu ini dan gembira kerana sepanjang hujung minggu ini, pasukan kami telah menunjukkan suatu pencapaian yang baik dan positif.”
Rakan sepasukannya, Md Akid Aziz menamatkan perlumbaannya di kedudukan kedua dengan catatan masa 16’21:313s. Kasma Daniel Kasmayuddin dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor mengambil tempat ketiga dengan catatan masa 16’27:926s.
Bagi kategori CP125, Md Adia Putra Sukarno dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor telah menyahut cabaran di Litar Permotoran Terengganu sebelum menyambut kemenangan. Di sesi “Shoot-Out” yang telah berlangsung pada pagi ini, Khairi Ashraf dari pasukan Jetron Yamaha YYPang Racing team mencatatkan masa terpantas pada 50’773s diikuti oleh rakan sepasukannya Shafiq Ezzariq di kedudukan kedua dengan catatan masa 50’795s. Adie Putra mengambil kedudukan ketiga di grid dengan catatan masa terpantas pada 50’999s.
Bermulanya perlumbaan, Adie dengan pantas mengambil kedudukan pertama diikuti oleh Fareez di P2. Sebelum berakhirnya lap tersebut, Fareez dan rakan sepasukannya Shafiq Ezzariq memintas Adie dan masing-masing mengambil kedudukan P1 and P2. Di P4, Aliff Daniel cuba merapatkan jurang di antara Adie. Berbaki 11 lap, Adie yang tidak putus asa memintas Shafiq Ezzariq di selekoh pertama sebelum memintas Fareez dari dalam untuk mengambil kedudukan P1. Fareez hilang kawalan dan juga kedudukannya.
Berbaki 8 lap, Aliff berjaya menutup jurang di antara Shafiq dan memintasnya. Adie masih hebat mempertahankan kedudukannya di P1. Aliff kemudiannya mula memberikan tekanan kepada Adie dan memintasnya buat seketika sebelum Adie kembali ke P1. Shafiq Ezzariq di P3 masih tidak mendapat peluang untuk ke depan. Berbaki 3 lap, Aliff hanya 0.077s daripada Adie. Di lap ke-13, Aliff tergelincir dan ini memberikan peluang untuk Shafiq Ezzariq mara ke P2. DI lap terakhir, Adie meneruskan momentumnya dengan jurang 0.693s dari Shafiq Ezzariq sebelum meraih kemenangan dengan catatan masa 12’55:820s.
Menurut Adie, “Hari ini, saya memang dicabar. Perlumbaan agak sengit lebih-lebih lagi dengan pelumba-pelumba lain yang agak besar berbanding dengan saya. Bagi saya, perlumbaan ini agresif. Saya bermula di petak grid ketiga maka memang susah untuk tutup ruang di antara pelumba di bahagian kiri. Tetapi, Syukur saya masih sempat juga. Saya suka selekoh terakhir di trek ini kerana ia memberikan saya kelebihan untuk ke selekoh pertama dengan cepat. Saya tidak jangkakan kemenangan ini tetapi saya sangat gembira. Saya memang buat yang terbaik.”
Di tempat kedua adalah Md Shafiq Ezzariq dengan catatan masa 12’56:577s. Md Aiman Tahiruddin dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing mendapat tempat ketiga dengan catatan masa 12’56:789s.
Sementara itu, Emil Idzhar Ezuan dari pasukan Bad Lad Honda KC Racing Team menyambut kemenangan di Litar Pemotoran Terengganu bagi kategori Wira KBS.Perlumbaan hari ini bermula dengan Adib Hareez dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing Team di petak grid pertama selepas mencatatkan masa terpantas di sesi kelayakan semalam. Di petak grid kedua adalah rakan sepasukan iaitu Farish Iqmal diikuti oleh Emil dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing di petak grid ketiga.
Sejurus bermulanya perlumbaan, Adib dengan pantas mengambil kedudukan P1 diikuti oleh Emil di P2. Sebelum berakhirnya lap pertama, Emil berjaya memintas Adib. Malangnya, Adib tergelincir di selekoh pertama dan rakan sepasukannya mengambil peluang di kedudukan P2. Di P3, Amirun cuba mencari peluang untuk memintas tetapi kedua-dua pelumba di hadapannya hebat mempertahankan kedudukan mereka. Iqram Danish pada ketika itu cuba menutup jurang dari P4.
Berbaki 6 lap, Emil tampil hebat di P1 dengan Farish di belakang dengan jurang 0.166s. Berbaki 4 lap, Amirun membuka langkah dan mengambil kesempatan untuk memintas Farish di selekoh 1. Di lap ke-9, Amirun mula menggunakan strateginya untuk menutup jurang. Namun begitu, Emil tidak memberikan peluang. Di lap terakhir, Amirun mencuba lagi untuk memintas Emil tetapi Emil mengelak sebarang kesilapan yang akan membuka peluang kepada Amirun. Di selekoh terakhir, Emil memecut ke garisan penamat dengan catatan masa 10’37:570s.
Menurut Emil, “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat bersama saya untuk perlumbaan minggu ini. Minggu ini agak mencabar bagi saya terutamanya untuk mencari “setup” jentera yang bagus. Di perlumbaan tadi, saya cuba mengekalkan momentum sepanjang perlumbaan dan saya amat berterima kasih dengan pencapaian saya pada hari ini.”
Amirun Haziq Johan dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing mengambil tempat kedua dengan catatan masa 10’37:614s. Md Farish Iqmal mendapat tempat ketiga dengan catatan masa 10’37:761s.
Comments
Loading…