WMOTO telah melancarkan skuter produk kelas 250cc yang ketiga selepas RT3 dan ES250i, iaitu XDV250i. Seiring dengan tagline “Ketangkasan Sebenar”. Skuter ini memaparkan reka bentuk yang gagah dan tajam yang menampakkan ciri maskulin pada motosikal terbaharu ini.
Untuk keselamatan maksima, Ia juga dilengkapi dengan brek cakera di hadapan dan belakang serta sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran, memberikan keyakinan yang lebih kepada penunggang semasa membrek kecemasan.
Skuter WMoto XDV250i 244cc dijana oleh 4-lejang, silinder tunggal dan 4-injap serta mampu menghasilkan hantaran kuasa maksimum 24.8Hp pada 8,750rpm dan tork maksimum 23.0Nm pada 6,750rpm dengan sistem penyejukan cecair. Dari segi teknikal yang lain, skuter ini turut mematuhi piawaian emisi Euro 4 dan dilengkapi sistem suntikan bahan api elektronik.
Skuter WMOTO XDV250i hadir dengan cermin penghadang angin boleh laras dan didatangkan dengan lampu projektor dan DRL yang menggunakan teknologi LED untuk jangka hayat lampu yang lebih lama serta melihat dengan lebih jelas semasa menunggang. Selain itu, lampu kecemasan turut disertakan dan panel paparan LCD penuh.
WMoto XDV250i memiliki tangki bahan api dengan kapasiti 13.5-liter yang memberikan anda lebih kilometer semasa menunggang. Manakala untuk kemudahan para penunggang, terdapat juga port USB di mana anda boleh mengecas telefon pintar anda dan letakkannya di dalam ruang simpan di bahagian depan skuter serta penyambung kuasa 12V10A (lobang soket cucuh rokok macam dalam kereta tu lah..)
Untuk suspensi, WMoto XDV250i menggunakan jenama terbaik, KYB di bahagian hadapan (fork terbalik) dan belakang (penyerap kejutan teleskopik) untuk keselesaan maksimum semasa menunggang di atas jalan raya dengan pelbagai jenis permukaan.
WMOTO XDV250i didatangkan dengan dua jenis varian; Standard dan Project-X. Varian standard memiliki spesifikasi yang standard manakala Project-X, memiliki aksesori tambahan aksesori dan juga berlainan dari varian Standard. Varian Project-X memiliki penghadang angin boleh laras yang lebih tinggi, rim spoke tanpa tiub serta 3 kotak simpanan di bahagian sisi dan belakang. Rim yang bergaya ala-ala jentera eropah serta kotak2 simpanan dibahagian belakang sememangnya telah mencairkan hati para penonton ibu bapa adek kakak semua yang ada disini bergoyang inul eh ah eh ahhhh!
WMoto XDV250i boleh didapati di pengedar sah WMoto seluruh Malaysia bermula 10 Disember 2022 dan dijual pada harga permulaan RM18,888.00 bagi kategori Standard dan RM21,888.00 untuk Project-X (tidak termasuk cukai jalan dan pendaftaran).
Varian Standard menawarkan dua warna pilihan; Admiral Blue dan Scarlet Red, manakala bagi varian Project-X cuma didatangkan dengan satu warna iaitu Majestic Black.
Dengan setiap pembelian WMoto XDV250i, para pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.
Rock N Ride Bersama WMoto Nohhh!
Comments
Loading…