Kawasaki ZX25RR motorsikal 4 dapur 250cc generasi terbaru yang pertama dibawa masuk ke Malaysia oleh Edaran motorsikal Nasional (EMOS) pada bulan September 2023.
Kelebihan dan keistimewaan ZX25RR sehingga menjadi sebutan ramai dan sangat di nanti-nantikan kehadirannya oleh mat-mat motor pada ketika itu ialah kerana kuasa yang diwar warkan mencecah 50hp dan ngauman bunyi ekzosnya seperti motorsikal berkuasa tinggi ribuan cc. Di samping memiliki kuasa dan bunyi yang padu, Kawasaki ZX25RR merupakan sebuah motorsikal yang memiliki reka bentuk sporty yang sangat menarik dan menepati cita rasa peminat peminat sportbike.
Tidak dapat di nafikan dengan bekalan kuasa sehingga 50hp, ZX25RR merupakan sebuah motorsikal yang paling berkuasa dalam kelasnya ketika ini. Walaupun tidak melakukan catatan masa pecutan dalam 100 meter namun Abah dapat merasakan perbezaan yang sangat ketara jika di bandingkan dengan motorsikal 250cc yang lain.
Penukaran dari gear satu hingga ke gear 6 berlaku dengan “lembut” dan lancar untuk memudahkan penunggang memecut atau menunggang menciluk-ciluk di dalam keadaan laluan yang sibuk seperti di dalam bandar atau di laluan haiwey yang banyak kenderaan. Terasa sangat keseronokan dan kenikmatan sebenar menunggang motorsikal apabila menunggang ZX25RR di atas hiway yang tidak begitu sibuk. Abah dapat menge’test’ dengan secukupnya motorsikal ini dari pelbagai sudut seperti kelajuan, pecutan (pick up), keberkesanan brek (ABS depan/belakang), kawalan(handling) layan konar dan penggunaan bahan api.
Walaupun memiliki berat sekitar 180 kilogram namun ZX25RR terasa ringan dan sangat mudah dikawal ketika sedang ditunggang. Yang Abah terasa kelainan sangat berbanding motorsikal 250cc yang lain ialah apabila berhenti di trafik light ia masih mampu bergerak semula dengan baik pada gear 5 atau 6. Ketika berada di atas hiway atau laluan biasa, penunggang tidak perlu menukar gear kerana pada kedudukan gear 6 ia sudah cukup pantas untuk memintas kenderaan lain yang berada di hadapan. Pendek kata, pulas aja Nohhh!
Sebagai sebuah motorsikal sportbike sudah pasti ia direka untuk kepuasan tunggangan berkelajuan tinggi dan selamat ketika menunggang di laluan yang berselekoh. Penunggang tidak perlu risau sangat tentang kestabilan ZX25RR ketika mengambil selekoh kerana ia siap di datangkan dengan Fork hadapan SFF-BP upside down (USD) dan penyerap hentak monoshock Showa BFRC pada bahagian belakang. Walaupun berada dalam kategori sportbike, Kawasaki ZX25RR tetap selesa untuk ditunggang oleh golongangan otai walaupun menunggang pada jarak jauh tanpa henti.
Kelajuan maksima adalah topik utama apabila bercakap tentang ZX25RR ini. Ketika Abah mencuba untuk merasai dan melihat sendiri kelajuan maksima, Abah hanya dapat melihat meter ZX25RR menunjuk kepada angka 185 sahaja . Kalau track panjang dan lajak sikit lagi meter mungkin boleh cecah 190 kmj 😊😊.
Henjutan (pick up) ZX25RR tiada tandingannya ketika di atas hiway, sebagai contoh, pada satu ketika sebuah jentera 250cc jenama popular berdesup memotong Abah yang ketika itu sedang menunggang santai pada kelajuan sekitar 125Kmj, Abah rasa terperanjat dan berderau darah kerana budak tu memotong ikut sebelah kiri. Dia ingat Abah bawak lori tayar 10 ka yang dia nak potong belah kiri tu?
Pada mulanya Abah biarkan sahaja, malas nak layan sebab Abah masa tu kebetolah sedang chorus lagu Disana Menanti Disini Menunggu, tapi dalam beberapa saat kemudian selepas budak itu sudah sayup jauh berada di hadapan, Abah terfikir kenapa tak nak try? Inilah masa terbaik untuk mencuba 250cc 4 dapur. Tanpa berfikir panjang, Abah ‘pause’ nyanyi kejap, Abah terus hambat budak tu dengan kelajuan antara 160 – 170 Kmj. Tak sampai 2 minit Abah sudah berada hampir dengan budak tu dan Abah memperlahankan sedikit kelajuan dan memintas budak tu pada kelajuan sekitar 145 kmj. Abah menten (maintain) berada di hadapan budak itu pada kelajuan 140 kmj, apabila budak itu cuba menghampiri untuk berdampingan, Abah pulas sikit throttle untuk terus berada di hadapannya. Selepas pasti budak itu tidak mampu bersaing dengan ZX25RR, Abah terus memecut dan meninggalkan budak tersebut sayup jauh di belakang, dan Abah sambong nyanyi semula lagu yang Abah pause tadi. Apa lah khabar budak tuh kan? Serta merta Abah terbayang gambar kat internet yang ditulis caption “Makanlah sikit dik…”.
Sistem brek ABS yang dipasang pada bahagian belakang dan hadapan roda sangat berkesan ketika melakukan brek mengejut. Abah dapat mengawal motorsikal dengan baik apabila melakukan brek secara mengejut di atas hiway dan laluan biasa apabila ada kenderaan menukar lorong secara tiba-tiba atau membrek secara mengejut di hadapan Abah.
Kesimpulannya Kawasaki ZX25RR adalah sebuah sportbike yang sangat sesuai untuk semua, terutamanya golongan muda dan otai yang berjiwa kelajuan. Padu, Laju dan bunyinya Shahdu Nohhh!
Teks dan Gambar Oleh : Abah Asri M Nor.
Comments
Loading…