Dalam usaha untuk memenuhi peraturan pelepasan asap Euro 4, Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (“MODENAS” atau “Syarikat”), anak syarikat DRB-HICOM Berhad, kini telah menaik taraf skuter maxi kegemaran sepanjang masa, Elegan 250 ABS dengan memperkenalkan versi baharu, Elegan 250 EX, dengan harga jualan disyorkan RM16,997.
Elegan 250 EX baharu didatangkan dengan enjin 250cc yang mematuhi piawaian Euro 4, dengan suntikan bahan api, 4 lejang dan silinder tunggal, SOHC yang menghasilkan kuasa maksimum 16.5 kW @ 7000 rpm dan tork 22.4 Nm @ 6500 rpm. Ini adalah unit yang berkuasa.
Memandangkan piawaian untuk enjin Euro 4 meletakkan peraturan yang lebih ketat daripada enjin Euro 3, maka model tersebut dilengkapi anti-pelepasan tambahan, untuk memastikan toksin dalam gas ekzos dilepaskan apabila enjin dihidupkan seminima yang mungkin. Dengan enjin Euro 4, Elegan 250 EX baharu pastinya lebih menjimatkan bahan api dan akan mengurangkan pencemaran kepada alam sekitar.
Dengan mengekalkan beratnya yang 195kg, skuter maxi ini tidak begitu ringan. Tetapi dengan pusat graviti yang rendah, dan pengendalian yang tangkas menjadikannya sebuah skuter yang seronok untuk ditunggang walaupun melalui lalu lintas yang padat. Seperti kebanyakan skuter gaya maxi, ini bertujuan untuk memberikan pengalaman dari segi keselesaan dan prestasi. Dari segi keselesaan, skuter ini ternyata berjaya.
Model 2023 didatangkan dengan lampu hadapan projektor yang lebih moden dengan LED “Daytime Running Light (“DRL”)” yang dapat dilihat dengan jelas pada bila-bila masa sepanjang hari untuk pengguna jalan raya lain, manakala lampu belakang berbentuk ‘X’ yang merupakan simboliknya skuter ini dan secara tidak langsung memberikan penglihatan yang jelas ketika menunggang pada waktu malam. Selain daripada lampu hadapan projektor yang dinaik taraf, semua ciri-ciri lain dikekalkan seperti meter kelajuan digital pelbagai fungsi, meter perjalanan, jam digital, penunjuk voltan bateri dan penunjuk paras minyak petrol. Satu lagi ciri-ciri yang sangat berguna ialah soket pengecas USB yang dipasang secara strategik, membolehkan penunggang mengecas telefon pintar mereka semasa dalam perjalanan. Ciri keselamatan dikekalkan dengan system ABS dwi-saluran yang mengelakkan roda daripada terkunci dan memberhentikan skuter ini dengan selamat dalam semua keadaan cuaca.
“Modenas Elegan terkenal dengan reputasinya kerana keselesaan. Model ini didatangkan dengan waranti selama dua tahun atau 20,000km (yang mana sampai dahulu), banyak ciri-ciri hebat, ergonomik yang baik, nama MODENAS dan reputasi untuk sokongan selepas jualan yang cemerlang. Secara keseluruhan, inilah yang orang mahukan dalam skuter nilai. Kebanyakan masa dan usaha telah digunakan untuk menjadikannya sebuah skuter yang boleh dipercayai serta memenuhi kehendak pengguna.” kata Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS.
Modenas Elegan 250 EX kini boleh didapati dalam dua skema warna baharu, “Matte Silver Crystal” dan “Petroleum Blue” yang bertujuan untuk menarik minat orang ramai yang lebih muda dan lebih sporty.
Comments
Loading…