in

CUBPRIX 1st Round: KEMENANGAN PERTAMA BAGI SHAHROL SYAZRAS

Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix pusingan satu Ahad lepas menyaksikan persembahan hebat daripada pelumba-pelumba kategori CP150. Antara mereka, Shahrol Syazras Shahrol Yuzy tampil dengan prestasi hebat dan memberikan kemenangan pertama kepada pasukan Honda Yuzy Estremo Team minggu ini di Litar Sepang Antarabangsa.

Perlumbaan pada petang itu bermula dengan Md Akid Aziz dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing di petak grid pertama apabila beliau mencatatkan masa terpantas di sesi “Superpole” dengan catatan masa 1’17:868s manakala juara musim lepas yang juga rakan sepasukannya, Ahmad Afif Amran mengambil tempat di petak grid kedua dengan catatan masa terpantas 1’18:239s. Shahrol Syazras bermula dari petak grid ketiga.

Sejurus perlumbaan bermula, Shahrol Syazras sampai ke selekoh pertama dahulu tetapi Afif berjaya memintas di lap pertama. Akid yang mengambil kedudukan P3 kembali ke P2 di akhir lap kedua. Lima lap kemudian, pelumba-pelumba di kedudukan belakang mula mengoyak throttle memperdeh dengan rakus, dan pada pertengahan perlumbaan penoh dramatik mistik bombastik, Idlan Haqimi dari pasukan Honda Yuzy Estremo Team pula mengambil kedudukan P1 diikuti oleh Afif dan Izam Ikmal masing-masing di P2 dan P3.

Afif yang mendahului para pelumba di lap ketujuh dan kelapan jatuh ke P10 di lap kesembilan dan di dahului oleh Azroy di lap kesepuluh. Sunggoh keras hati Roy. Persaingan bertambah sengit dan ditambah lagi dengan cuaca panas terik pada petang ini. Namun begitu, para pelumba terus mengejar untuk kemenangan pertama. Di lap terakhir, Shahrol berjaya mengambil alih kedudukan P1 dan menjauhkan diri daripada kelompok pelumba lain di belakang. Dengan keyakinan dan momentum yang mantap, beliau meraih kemenangan pertama dengan catatan masa 14’33:768s.

Menurut Shahrol, “Pada lap terakhir tadi, saya nampak kebanyakkan pelumba mengurangkan kelajuan. Pada pendapat saya, mereka mungkin mencari masa yang bagus untuk mengorak langkah. Bagi saya, ia merupakan suatu peluang, jadi saya pun mengambil kesempatan untuk meningkatkan kelajuan. Saya berasa amat gembira kerana berjaya kali ini.”

Tempat kedua jatuh ke tangan Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing dengan catatan masa 14’34:025s.

Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Estremo Team mengambil tempat ketiga dengan catatan masa 14’34:027s.

Bagi kategori CP125, Md Syafiq Rosli dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor menyambar kemenangan untuk pusingan pertama.

Md Syafiq Ezzariq Saiful Nizam dari pasukan Jetron Yamaha YYPang Racing Team mendapat kelebihan pada pusingan ini apabila beliau mengambil petak pertama di grid selepas sesi “Shoot Out” dengan catatan masa 1’22:286s. Dengan sokongan yang teguh daripada rakan sepasukannya, Md Khairi Asyraf Mahmood di petak grid kedua, duo sepasukan ini telah memulakan perlumbaan dengan nada positif berirama Heavy Metal Dangdut.

Walau bagaimanapun, Syafiq ketinggalan sedikit di awal perlumbaan dan rakan sepasukannya Fareez mengambil kedudukan P1. Di pertengahan perlumbaan, Md Syafiq Rosli dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor mara ke kedudukan P1. Md Syamil Amsyar M Iffende dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing yang berlumba untuk kali pertama di kategori ini tampak hebat di kedudukan P4.

Perlumbaan yang sengit pada petang bersejarah itu telah menyaksikan penukaran kedudukan di antara pelumba-pelumba namun Syafiq Rosli telah tampil dengan prestasi yang mantap. Di lap terakhir, Syafiq dan Amirul dari pasukan SCK Honda Racing Team kelihatan bergelut untuk kedudukan P1 dan akhirnya Syafiq berjaya dengan catatan terpantas 11’21:598s.

Menurut Syafiq, “Bagi saya, perlumbaan pada petang ini amatlah sengit. Lebih-lebih lagi, dengan para pelumba yang bukan calang-calang orangnya. Tetapi pasukan saya telah menyediakan jentera dengan “setup” yang bagus. Walaupun cuaca agak panas hari ini, saya bersyukur kerana mampu menamatkan perlumbaan dengan suatu kejayaan.”

Md Amirul Ariff Musa mengambil tempat kedua dengan catatan masa 11’21:814s.

Di tempat ketiga adalah Syamil Amsyar yang telah mempamerkan potensi di kategori ini dengan catatan masa 11’22:274s.

Sementara itu, bagi kategori Wira KBS, Amirun Haziq Johan dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha -31 Racing menyambar kemenangan pertama bagi musim ini.

Sesi “Shoot Out” yang berlangsung pada waktu pagi tadi telah menempatkan Amirun di petak grid pertama apabila beliau mencatatkan masa terpantas 1’26:145s. Mengikut jejak langkah abang-abang “senior”, Amirun tampak hebat dan makin hensem macam penyanyi Korea di litar pada musim ini.

Walaupun Amirun dicabar oleh Ahmad Iqram Danish dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing pada lap pertama dan kedua, Amirun berjaya kembali ke P1 pada lap ketiga dan telah mengekalkan kedudukannya di lap keempat. Di lap kelima, Iqram kembali untuk memberikan saingan kepada Amirun. Dalam pada itu, Raiyan Khardanee M Sanusi mencari peluang untuk memintas rakan sepasukannya, Amirun. Raiyan berjaya di lap keenam, tetapi Amirun yang menaiki jentera No. 31 menyambar kembali kedudukan di P1 sebelum menyahut kemenangan pertamanya bagi musim ini dengan catatan masa 10’16:519s.

Menurut Amirun, “Ini hanyalah permulaan bagi saya. Pasukan saya telah bekerja keras dalam penyediaan jentera yang bagus untuk pusingan ini. Saya berharap bahawa jentera saya akan sentiasa dalam keadaan optimum agar saya dapat meneruskan kejayaan ini di sepanjang musim.”

“Para pelumba musim ini telah memberikan saingan yang hebat. Sememangnya tidak mudah bagi saya tetapi saya telah mencuba dan berikan yang terbaik.”

Raiyan mengambil tempat kedua dengan catatan masa 10’16:760s.

 

Di tempat ketiga adalah Md Farish Iqmal Khayrul Elyas dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing dengan catatan masa 10’16:899s.

Kita bergomoi di Pusingan Ke-2 pulak Nohhh!

 

CP150 Category:

1.Shahrol Syazras Shahrol Yuzy, HONDA YUZY ESTREMO TEAM, 14:33.768

2.Ahmad Afif Amran, PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING, 14:34.025

3.Azroy Hakeem Anuar, HONDA YUZY ESTREMO TEAM, 14:34.027

4.Md Izzat Zaidi Md Salehan, PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING, 14:34.275

5.Nazirul Izzat Md Bahauddin, PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR, 14:34.279

CP125 Category:

1.Md Syafiq Rosli, PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR, 11:21.598

2.Md Amirul Ariff Musa, SCK HONDA RACING TEAM, 11:21.814

3.Md Syamil Amsyar M Iffende, PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, 11:22.274

4.Md Khairi Asyraf Mahmood, JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM, 11:22.329

5.Md Fareez Afeez Abd Rahman, JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM, 11:22.420

 

Wira KBS Category:

1.Amirun Haziq Johan, PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, 10:16.519

2.Raiyan Khardanee M Sanusi, PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, 10:16.760

3.Md Farish Iqmal Khayrul Elyas, BAD LAB HONDA KC RACING, 10:16.899

4.Adib Hareez Hazwat, BAD LAB HONDA KC RACING, 10:17.087

5.Ahmad Iqram Danish Ahmad Ghazali, YAMAHA ESTREMO 27 RACING, 10:17.090

What do you think?

Written by Ripoter Kapcai

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

MODENAS TANDATANGAN MOU BERSAMA GIATMARA UNTUK PROGRAM TVET

Malaysia Drag Bike National ET Record Championship 2022, Pusingan Akhir, Pekan Speedway, Pahang. (11-12 FEB 2023)