Pusingan kedua, Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix sampai ke acara kemuncak pada petang ini di Dataran Seri Jempol. Kasma Daniel Kasmayuddin melakarkan kemenangan pertamanya untuk pasukannya PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor di kategori CP150.
Di sesi “Superpole” yang berlangsung pada waktu pagi tadi menyaksikan Kasma Daniel Kasmayudin dengan persembahan yang hebat apabila beliau mencatatkan masa terpantas pada 43’948s. Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Estremo Team pula mencatatkan masa 44’135s diikuti oleh Md Haziq Md Fairues dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor dengan catatan masa 44’177s.
Nasib tidak menyebelahi Afif dan Nazirul apabila mereka tergelincir dan jatuh di permulaan perlumbaan. Ini memberikan ruang kepada Akid untuk mengambil P1 dan menguasai litar untuk beberapa lap sebelum di beri tekanan oleh Kasma di lap kelima. Di lap keenam, Kasma berjaya memintas Akid dan tampil dengan aksi yang hebat sepanjang perlumbaan di lap-lap seterusnya.
Di P2, kedudukan Akid semakin diancam oleh Azroy. Akid meneruskan perjuangannya tetapi akhirnya dipintas oleh Azroy di lap keenam belas. Dalam pada itu, Kasma yang telah mengekalkan kedudukannya secara konsisten di P1 meningkatkan kelajuan dengan jarak yang cukup untuk mengurangkan persaingan daripada pelumba di P2. Di akhir lap kelapan belas, kedudukan Azroy tergugat apabila Akid mencuri peluang untuk memintas.
Di lap terakhir, jarak di antara Kasma and Akid semakin besar dan Akid kehilangan peluang untuk tampil ke hadapan. Kasma meraih kemenangan pertama untuk musim 2023 dengan catatan masa 14’53:692s.
Menurut Kasma, “Pada perlumbaan tadi, saya memang bermula lambat dan agak ketinggalan. Bertambah lagi dengan cuaca yang panas dan jentera saya semakin kurang “power”. Pada masa itu, saya cuba memintas dan mempertahankan “racing line”. Akid dan Azroy juga, 50%/50% tadi dan dari segi jentera pun agak berbeza. Akid mempunyai kelebihan dalam “top speed” maka saya hanya cuba kekalkan momentum dan fokus kepada “cornering-to-cornering”.
“Cuaca memang panas dan memang tayar-tayar pelumba pun terjejas. Kami hanya cuba “safe-riding” untuk elakkan daripada jatuh dan memang syukur untuk perlumbaan ini.”
Tempat kedua diambil oleh Md Akid Aziz dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing dengan catatan masa 14’54:099s.
Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Estremo Team mendapat tempat ketiga dengan catatan masa 14’54:892s.
Bagi kategori CP125 pula, Md Khairi Asyraf Mahmood dari pasukan Jetron Yamaha YYPang Racing Team menguasai Dataran Seri jempol dengan kemenangannya pertamanya untuk musim 2023.
Di sesi “Shoot Out” yang berlangsung pada sebelah pagi tadi, Md Aiman Tahiruddin dari PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing mencatatkan masa terpantas, 46’430s diikuti oleh Md Khairi Ashraf Mahmood dari pasukan Jetron Yamaha YYPang Racing Team pada 46’435s dan Md Irfan Haykal Amidi dari pasukan Bad Lad Honda KC Racing pada 46’539s.
Sejurus selepas bermulanya perlumbaan, Aiman memecut ke hadapan dan menutup ruang untuk persaingan di selekoh pertama. Namun begitu, persaingan di antara pelumba-pelumba bertambah sengit seperti biasa dan telah menyaksikan perubahan kedudukan di antara mereka tetapi yang paling ketara adalah di antara Aiman dan Firdaus. Pada ketika itu, Irfan Haykal berada di P3.
Dua lap lagi untuk menamatkan perlumbaan, suatu kejadian yang tidak disangka berlaku dan ketiga-tiga pelumba di hadapan jatuh lalu memberikan ruang kepada Khairi Ashraf untuk meluncur ke hadapan diikuti oleh Adie Putra di belakangnya. Di lap terakhir, Khairi memecut ke garisan penamat dengan catatan masa 11’51:548s. Di saat akhir, Adie dipintas oleh Shafiq Ezzariq yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua.
Menurut Khairi, “Saya berterima kasih kepada pasukan saya untuk setup jentera yang baik. Pada mulanya, memang sukar kerana pelumba-pelumba memberikan saingan yang hebat. Namun begitu, kesilapan yang dilakukan oleh kelompok di hadapan telah memberikan saya kelebihan dan akhirnya saya dapat menamatkan perlumbaan di tempat pertama.”
Tempat kedua di ambil oleh rakan sepasukannya, Md Syafiq Ezzariq Saiful Nizam dengan catatan masa 11’53:687s.
Md Adie Putra Sukarno dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor mengambil tempat ketiga dengan catatan masa 11’54:139s.
Sementara itu, bagi kategori Wira KBS, Emil Idzhar Ezuan dari menceriakan lagi suasana untuk pasukan Yamaha Estremo 27 Racing apabila beliau meraih kemenangan pada petang ini.
Emil telah bermula di petak grid pertama. Namun begitu, di akhir lap pertama, Emil dipintas oleh Adib Arsyad yang kemudiannya di pintas oleh Adib Hareez di akhir lap kedua. Sementara itu, Amirun Haziq yang berada di P5 pada permulaan perlumbaan memberikan cabaran yang hebat dan pada akhir lap keenam, beliau mara ke kedudukan P2.
Pada pertengahan perlumbaan, Amirun teruskan saingan sambil memberikan tekanan kepada Adib Hareez di hadapannya. Beliau berjaya memintas dan mengambil kedudukan P1 pada akhir lap kelapan. Walau bagaimanapun, kedudukan Amirun disambar kembali oleh Emil yang tidak berputus asa. Emil kemudiannya meneruskan perlumbaan di kedudukan P1 dan mempertahankan kedudukannya walaupun diberikan tekanan oleh Adib Hareez di belakangnya. Emil menamatkan perlumbaannya dengan catatan masa 9’42:132s.
Menurut Emil, “Saya amat berterima kasih kepada ibu bapa dan pasukan saya yang telah bertungkus-lumus untuk minggu ini. Pada permulaan perlumbaan tadi, saya agak ketinggalan tetapi pada lap-lap terakhir, saya dapat “catch-up” dengan kelajuan dan momentum yang bagus.”
Kedudukan kedua diambil oleh Adib Hareez Hazwat dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing dengan catatan masa 9’42:488s.
Ahmad Iqram Danish Ahmad Ghazali dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing mengambil tempat ketiga dengan catatan masa 9’43:912s.
Comments
Loading…