Menyokong penuh usaha kerajaan yang telah memperkenalkan inisiatif Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik dalam Belanjawan 2024 melalui pemberian rebat tunai RM2,400.00 kepada pembeli yang berpendapatan tahunan RM 120,000.00 ke bawah baru-baru ini, MForce Bike Holdings Sdn Bhd dengan rasminya melancarkan sebuah model skuter elektrik terbaharu untuk pasaran tempatan iaitu YADEA E8S Pro.
Jenama YADEA ini telah diperkenalkan di acara Malaysia Autoshow 2023 pada bulan Mei yang lalu. Model YADEA E8S Pro ini hadir dengan teknologi TTFAR yang menawarkan penggunaan tenaga yang lebih efisien.
Harga asas yang ditawarkan ialah RM5,999.00 seunit (tidak termasuk kos pendaftaran, insurans dan cukai jalan). YADEA E8S Pro datang dengan pek bateri Graphene yang besar iaitu 72 volt dan 38Ah. Ia digerakkan dengan motor elektrik 2000W yang menghasilkan tork sekitar 140 N.m dan dipacu dengan menggunakan tali sawat untuk menghantar kuasa kepada roda belakang. YADEA E8S Pro mempunyai dua mod tunggangan iaitu Eco dan Sport menjadikannya ideal sebagai mod pengangkutan dalam bandar dengan jarak yang tidak terlalu jauh.
Antara spesifikasi dan ciri-ciri lain yang melengkapi YADEA E8S Pro ialah sistem lampu LED, panel meter digital, brek cakera hadapan dan belakang, ruang simpanan berkapasiti 32 liter dan ketinggian pelana 740 mm. Ia hadir dengan tiga pilihan warna menarik iaitu Space Gray, Matte Sea Blue dan Black. Model E8S Pro juga telah berjaya melepasi piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) dan memenuhi syarat untuk didaftarkan seperti motosikal enjin konvensional.
Ketua Pegawai Operasi (COO) MForce, Asri Ahmad berkata segmen kenderaan elektrik ini membuka peluang kepada MForce untuk memacu pembangunan industri EV tempatan serta menggalakkan lagi penerimaan orang ramai terhadap penggunaan mobiliti elektrik di negara ini. Pihaknya juga turut komited dalam merealisasikan usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang berhasrat menjadikan Malaysia sebuah negara neutral karbon menjelang 2050 tercapai.
Buat masa ini MForce telah pun mempunyai sebuah pusat pameran dan jualan yang telah pun beroperasi sepenuhnya di Jalan Kelawai, Georgetown, Pulau Pinang dan kini sedang merancang untuk memperluas lagi lokasi rangkaian pusat pameran dan jualannya. Skuter elektrik ini akan mula dijual dalam tempoh terdekat melalui pengedar sah MForce yang terpilih di seluruh negara.
Comments
Loading…