in

RIDE TULAR DUA RODA KE SABAH 2023

D’lancongfleet, sebuah Tim Motorsikal yang dikelola oleh Brader M Haizal Raz Khan, seorang yang sentiasa hensem dan amat meminati jentera Dua Roda dan aktiviti pelancongan. Maka, D’Lancongfleet diwujodkan untok menyatukan dua entiti, Motorsikal dan juga Pelancongan. D’Lancongfleet buat julong kalinya mengadakan aktiviti ‘Ride Tular’ pada 2022 dimana Perlis menjadi negeri pertama yang dijelajahi. Selepas Perlis, Kedah pula menjadi pilehan, dimana ketika itu ahli2 yang join juga bertambah lagi 1 orang, menjadi 5 kesemuanya.

Dan ketika di Kedah itulah mereka berlima bersembang deras, ‘Lepas ni kita Ride di Sabah lah, baru meletop kita punya Ride!’. Begitulah ungkapan dari Haizal, dan disokong dengan acuh tak acuh oleh rakan2 yang lain. Sebenarnya tinggi sangat cita2 Bro Haizal tu, maklomlah, kalau nak ke Sabah, terlalu banyak yang perlu dipersiapkan, dan terutama sekali dah tentulah bab kos pergi dan biaya diri disana. Mahal kot!

Setelah setel jelajah Kedah, semua ahli2 seramai 5 orang tu pulang ke destinasi masing2. Rupanya, dalam tempoh beberapa bulan selepas itu, Brader Haizal telah melakukan aktiviti mencari sponsor, dan bila dia kata cita2 untok Ride Sabah makin menuju kejayaan, maka ahli2 yang lain pon mula ghairah. Ada antara mereka yang ikot cari dan riki kot2 buleh dapat lagi sponsor tambahan. Alhamdulillah Allah permudahkan urosan, Sponsor makin bertambah dan akhirnya dipendekkan cerita, terbanglah 6 Members Of D’Lancongfleetolistical ke Sabah pada 11 Julai 2023 Oyeahhh!

11 Julai 2023:
Ini hari pertama 6 ahli D’Lancongfleet di Sabah. Mereka2 itu adalah Haizal (Bro’s Moto Crew, Penyelaras D’lancongfleet), Azman Ali Rider (FB: Aku Dan Rodaku), Cikgu Fizi aka Tun Jebat (FB: Kami Mengembara), Razak aka Bang Jaq (Presiden Club Antique Motor Kulim-CAMK), Abd Latif (Yamaha Sport Northern Community-YSNC) dan Ghani Arafatz, Editor Majalah Kapcai.

Sampai saja di Epot (Airport) Kota Kinabalu (KKIA), telepon Grab dan kami semua bertolak ke Taman Kingfisher di Likas untok ambik motor sewa. Motor Sewa telah dibooking awal, maka sesampainya saja kami di situ, semuanya sudah tersedia untok diambik. Alhamdulillah, Gua dapat sebuah jentera Honda RS150R, siap dipasang monorack GIVI (ini telah pon kami deal siap2 sebelom turon ke Sabah tempohari). Maka, oleh sebab jentera tu dah sedia ada Monorack, Gua hanya bawak Box Givi (Box sendiri, Givi Atlas 45 Liter Nohhh!) dan beg tangki (juga brand GIVI) saja. Bermakna, ekspedisi Gua di Sabah tempohari hanya membawa sebuah Boks GIVI 45 Liter, sebuah beg Laptop dan sebuah beg Tangki GIVI. Masa naik flight, Gua bawak beg laptop masok dalam flight, manakala boks GIVI Gua masokkan ke bahagian kargo. Helmet dan beg tank Gua boh dalam boks GIVI tu. Senang dan semestinya selamat semua barang2 kita Nohhh! Boks GIVI memang terbaik!

Setel ambik motor, kami ber Enam memulakan pusingan roda pertama ke pejabat Pelancongan Kota Kinabalu. Disana kami disambot oleh Julian Jim selaku Timbalan Pengarah Sabah Tourism Board. Di pejabat Sabah Tourism Board itu jugak terdapat batu penanda 0 Kilometer, maka molek sangatlah kami memulakan pengembaraan mengelilingi Sabah disitu Nohh! Setel bergambar kami teros ke kedai makan berhampiran, dan tak lama selepas itu kami Check in di sebuah rumah tumpangan di Kota Kinabalu (berhadapan dengan Pasar Filipin).

12 Julai 2023:
Pagi ini kami singgah sebentar di Balai Seni Lukis Sabah ataupon Sabah Art Gallery. Sempat jugak lah kami tinjau lukisan2 pelukis tempatan Sabah disitu. Masoknya ada yuran, RM5 untok orang biasa, Budak2 dan Orang Tua free aja. Peminat seni wajib singgah sini kalau pegi ke Sabah Nohhh!

Setel di Balai Seni Lukis Sabah, kami sepatotnya menuju ke Tip Of Borneo, Kudat. Tapi kami mendapat jempotan untok ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu untok berjumpa dengan Ketua Bahagian Trafik, DSP Jo Anang. Kami diberi beberapa tips dan nasehat untok melakukan Ride di Sabah, memandangkan jalanrayanya yang agak berbeza dengan Semenanjong. Terima Kaseh Tuan Jo, kami amat menghargainya!
Sebelom kami mohon permisi dari Tuan Jo, hujan mulai turon di KK dan ianya bukan hujan biasa2, tapi hujan yang menyebabkan beberapa tempat dinaiki ayer. Kami masa tu tersangkot di Balai Polis, dan akhirnya kami membuat keputosan untok meredah hujan. Nasib baik ada baju hujan jenama Foxdry (salah satu penaja kami). Pakai baju hujan tu dan kami buat keputosan untok ke Kudat. Tapi malang tidak berbau Nohhh! Motor Cikgu Fizi (Yamaha 135LC) buat sempot2 pulak. Start hidop, tapi pulas throttle nye mampos. Cabaran pertama dalam ekspidisi sudah bermola Jo Yeahhh!

Bila dah tak buleh nak ikhtiar, kami kontek tuan motor sewa, bagitau masalah tu dan dia tawarkan untok pi ambik motor lain kat tempat dia. Motor tu dia suroh tinggal kat balai tu, nanti dia datang ambik katanya. Maka Cikgu Fizi (Kami Mengembara) naik berdua dengan salah sorang ahli kami, ‘Perdeh’ dalam cuaca yang renyai2 menuju ke Taman Kingfisher yang berjarak sekitar 30KM. Sampai disana Cikgu Fizi diberikan sebuah lagi jentera Yamaha 135LC. Masa tu, jentera Honda RS150 yang Gua bawak tu pon dah macam ada tanda2 tak best jugak. Lampu Check enjin kejap2 nyala. Tapi tuan motor dah kata motor tu baru diservis-tukar minyak hitam, maka Gua buat tak kesah aja lah. Mungkin ada wayar short la kot yang menyebabkan lampu check enjin tu nyala kan. Not a big problem lah ujar Gua dalam hati heh!

Hari dah gelap time tu, hujan pulak makin berat. Akhirnya, rancangan untok ke Kudat dibatalkan demi keselamatan. Kami cari sebuah rumah tumpangan di KK dan semuanya masok ke bilek dengan kebasahan. Malam tu kami sempat bawak baju2 basah ke kedai Dobi di Kampong Air. Melehat suasana Kampong Air diwaktu malam, barulah kami tahu kenapa ianya agak femes disebot di media sosial heh!

13 Julai 2023:
Pagi ini kami menuju ke Sabandar, satu pekan didalam Daerah Tuaran. Konon nak tengok bandar Koboi, tapi bila sampai disana, rupanya tempat tu macam on tak on aja. Okaylah, mungkin kami pi silap hari kot? Takpa, kami patah balek menuju ke Kota Belud, dan meneroskan perjalanan ke Kudat. Dalam perjalanan kami melalui Manggaris, sebuah area yang agak bagus untok membeli barangan kraftangan yang dijual di tepi jalan. Jagong bakar pon ada kat situ Nohhh!

Kami tiba di Kudat (Tip Of Borneo) sekitar jam 3 Petang, dan suasana di situ sangatlah berangin. Paling best adalah, menurot Razali NJ (Kapcai Raider Borneo), kawasan batu bulat penanda Tip Of Borneo tu telah ditutop beberapa minggu dah sebelom tu untok kerja2 renovasi. Ngam2 saja time kami sampai tempat tu dibukak semula haha! Itulah rezeki namanya Nohhh!
Lepas bergambar di Tip Of Borneo, kami bergerak ke Kampong Sumangkap, sebuah perkampongan yang amat speshelis dalam pembuatan Gong. Terdapat sebuah replika Gong di dalam Kampong Sumangkap nih, dan dia punya tinggi 20 kaki Nohhh! Nak masok kampong kena bayar RM5 satu orang, dan dalam ni boleh lah nak beli Gong dengan pelbagai size dan material. Harganya pon berbeza ikot kualiti dan size.
Setel di Kampong Sumangkap kat Kudat nih, kami menuju ke Kota Belud untok bermalam di sebuah Homestay milek seorang Tuan Haji.

14 Julai 2023:
Dari Kota Belud, kami meneroskan perjalanan ke sebuah Camp Site (juga didalam daerah Kota Belud). Campsite bernama Tunga Unga itu berada di Kampong Ratau Kota Belud. Campsite ni memang best lah sebab ianya kat tepi sungai, dan berlatarbelakangkan Gunong Kinabalu. Kat Campsite Tunga Unga Kota Belud ni, sudah terpampang depan mata Gunong Kinabalu. Memang cantik dan healing sangatlah lepak kat situ. Kat sungai tu jugak buleh Casting, dan ada ikan Kelah kat situ Nohhh!

Perjalanan kami teroskan lagi, dan kami kini sedang menuju ke Kundasang (Kaki Gunong Kinabalu). Perjalanan amat menyeronokkan dengan pemandangan bukit bukau, ditambah pulak dengan cuaca yang redop, sangat2 best walaupon keadaan jalanrayanya amatlah menjengkelkan. Lobang kejap disana kejap disini. Tapi takpa, kami tak bawak laju, sekitar 80KMJ saja Nohhh! Sempat lah elak kalau tiba2 muncol lobang puaka tu Oyeahhh!

Satu yang menarek sebelom sampai di Kundasang, ada satu pekan bernama pekan Nabalu. Disitu katanya ada stesen minyak, kami pon cari lah tapi tak jumpa. Bila tanya orang situ, dorang tunjok stesen minyak kat atas bukit. Wow! ini rare! Mungkin inilah satu satunya stesen minyak yang dibuat diatas bukit. Sebenarnya stesen minyak tu adalah sebuah kedai kecik saja (jugak menjual tong gas). Tuan ampunya kedai tu kata, dia mendapat geran daripada kerajaan, maka harga minyak yang dia jual adalah mengikot harga pasaran, walaupon kaedah penjualannya menggunakan pam cara lama. Bagus bro, semoga bro akan mendapat peluang untok membuka stesen yang real selepas ini. Kalau Lu Orang ride di area pekan Nabalu, singgahlah isi minyak diatas bukit tu Nohhh!

Dalam masa yang sama, ujian dan cabaran datang lagi pada tim kami. Salah sorang ahli kami, dia punya Yamaha LC135 buat perangai pulak. Motor tu tak larat naik bukit, sempot2. Nasib baiklah Bang Jaq pakar dalam bab tunda menunda nih. Bila sampai area mendaki bukit, Bang Jaq pon ikotlah tunda motor tu kot belakang. Akhirnya, Alhamdulillah kami tiba di Homestay di Kundansang. Suasana amatlah sejok, cakap pon dah macam keluar asap dah sikit2 Jo Yeahhh!
Kami sempat lah ronda2 disekitar Kundasang, sempatlah jugak ke pintu gate ladang tenusu tuh. Dia punya view, dengan angin sejok yang menderu, ohaiiii… Macam kat New Zealand Nohhh! (Walaupon tak pernah sampai New Zealand, tapi kami semua dok imajin macam tu lah keh keh). Malam tu pakat tidoq dalam kesejokan, pakai jeket riding pon takbleh tahan, sarong pulak dengan baju ujan kot atas. Pon tak hilang sejok. Dah la sejok, kat luar mai hujan lebat pulak, dah la hujan lebat, angin pon kuat! Komplit dan Total Sejok Nohhh!

Yang Bang Jaq masa tu dah masok malam ke 2 tidoq tak cukop. Malam tu dia buat menggigau apa tah, sat dia menempik sat dia menjerit. Gua layan aja lah sebab masa tu dok tengah edit video. Sejok kat situ bukan hala, bukan biasa2, dia kacau sampai dalam mimpi Nohhh haha!

15 Julai 2023:
Hari ini kami akan meneroskan perjalanan ke Sandakan. Tapi sebelom tu kami ke Kinabalu Park dulu untok dapatkan sedikit info mengenai cara2 kalau kita nak panjat Gunong Kinabalu. Disana kami berjumpa Ranger Kanan, Mr Engelbert dan dia sangat membantu kami untok merungkai beberapa persoalan mengenai persediaan untok panjat gunong Kinabalu. Katanya, kalau nak register, sila register direct dengan Taman2 Sabah. Jangan daftar dengan mana2 agen, sebab sekarang ramai scammer. Nanti duit kita lesap gitu saja. Bukan apa, untok mendaki Gunong Kinabalu, kos agak tinggi jugak. Kena prepare at least RM1K jugak lah.
Paling best, kami dibenarkan Ride motor hinggalah ke terminal perlepasan (Timpohon Gate-Check Point 1). Terima Kaseh Mr Engelbert!

Setel di Kinabalu Park, Kami teroskan perjalanan ke Sandakan, dan dalam perjalanan kami singgah makan di Ranau. Pekan Ranau agak best, ada beberapa kedai nasik Kandaq serta banyak kedai2 besar. Tim kami bila dah jumpa kedai nasik kandaq, apa lagi tunggu? Perdeh lah kari kambin Nohhh!
Setel pekena Nasik Kandaq, kami teroskan perjalanan dan kami melalui Telupid. Okay, kami akhirnya sampai jugak ke kawasan yang mendapat jolokan permukaan bulan Jo Yeahhh!

Jalanraya di area Telupid menuju Sandakan ini amatlah mencabar, bahkan kalau Lu Orang yang ada masalah batu karang, hernia mahupon ibu2 mengandong, dimintak untok berhati2 ketika melalui jalan ini. Ketatkan semua skru2 di jentera masing2, dan peganglah handle motor dengan padu dan mantap. Jalan berlobang sebenarnya bukan masalah besar, tapi masalah utamanya adalah lobang yang tiba2 muncol didepan tayar! Dari kejauhan nampak flat aja, tapi segala lobang puaka itu tiba2 muncol depan mata. Dan melalui jalan ini sebenarnya amatlah memenatkan. Kami doakan agar kerajaan dengan pantas mengambil tindakan untok baiki jalanraya Telupid ke Sandakan ini. Kesian kat orang yang hari2 melalui jalan berpuaka ini. Tapi itulah… apa kuasa tulisan ini kan? Sedangkan orang Sabah sendiri sudah berapa lama bersuara mengenai masalah ini, pon langsong tidak diendahkan. Inikan pulak tulisan picisan dari Majalah Kapcai. Tapi takpalah… Janji kita tulis Nohhh!

Akhirnya setelah menempoh dugaan yang maha dahsyat, kami tiba juga di Sandakan dengan selamat. Tapi ada satu masalah baru pulak yang muncol. Motor Yamaha 135LC yang ditunggang Azman Ali Rider buat panas enjin pulak! Oh ya, kami sekarang tinggal berempat saja, dua ahli kami yaitu Cikgu Fizi dan Bang Jaq sudah berpatah balek ke KK sebab cuti depa pendek saja. Kena balek awal dan tak dapat nak join kami. Takpa nak buat gena kan.. InshaAllah nanti ada rezeki sambong lagi Nohhh!

16 Julai 2023:
Di Sandakan, pagi ni kami ke sebuah bengkel untok repair motor Azman Ali Rider. Setel repair, kami menuju ke Sepilok (tempat Orang Utan) ditemani oleh Brader Adi Retro. Tengkiu Bro Adi yang sudi eskot kami ke Sepilok. Di Sepilok kami hanya lepak luar saja sambil ambik gambar sikit, dan kami meneroskan perjalanan. Tapi, sebelom keluar dari daerah Sandakan, Gua punya motor nampaknya ada hal kat bahagian tayar belakang. Singgah kat satu bengkel dan lepas check, rupanya tayar tu sudah bocor. Tampal lah Nohhh!

Akhirnya, kami meneroskan perjalanan ke Kinabatangan, dan disitu kami topap minyak motor. Di area Kinabatangan ini kami singgah kejap kat Agop Batu Tulug, sebuah bukit setinggi 40 meter yang mempunyai gua dibahagian atas. Gua itu menjadi tempat menyimpan keranda kayu yang berusia ratusan tahon. Tempat nih memang senmperrr, bersejarah dan sangat bagus untok bikin kajian. Tapi agak malang, jalan nak masok ke situ agak miskin, laluannya berlobang dan merbahaya. Harap pehak berkenaan ambiklah inisiatif untok baiki jalan tu Nohhh!

Kami teroskan perjalanan, dan kami kini melalui Lahad Datu. Kalau ikotkan hati memang nak lajak ke kampong Tanduo, tempat bersejarah itu. Tapi jaraknya agak jauh kedalam, sedangkan kami mengejar masa untok sampai ke Semporna. Kami sebenarnya hanya Ride diwaktu siang hari sahaja, waktu malam kami off sebab keadaan jalanraya di Sabah tidak sama macam di Semenanjong. Untok lebeh selamat, kami hanya ride siang hari saja.

Di Lahad Datu, kami berjumpa dengan seorang True Raida, Rahman aka Antong Pailang. Ini adalah Raida yang mengikoti Majalah Kapcai semenjak sekian lama dahulu. Pertemuan dengan Antong Pailang dari Lahad Datu amat membuatkan Gua terharu. Terima Kaseh Bro! Di Lahad Datu kami sempat singgah di gerbang Menara Kayangan. Singgah bergambar saja sebab hari dah mulai gelap. Selepas mengucapkan selamat tinggal kat Brader Antong Pailang, kami meneroskan perjalanan ke Semporna, dan dalam perjalanan tu kami singgah topap minyak di Kunak. Dari Kunak ke Semporna ada lebeh kurang 40 KM lagi, dan ketika itu hari sudah gelap. Nak tak nak, kami jalan jugak lah dalam kegelapan malam yang Zulmat! Bayangkan, jam baru pukol 8 malam, dia punya gelap luar biasa sekali! Ya, kiri kanan kami hanyalah pokok2 Sawit, manakala jarak penglihatan kami hanyalah sekitar 10kaki saja didepan. Kelajuan pulak sekitar 50KMJ aja Nohhh! Dengan semangat yang jitu, Alhamdulillah kami berjaya jugak sampai di Semporna malam itu dengan selamat.

17 Julai 2023:
Hari ini hari ke-7 Kami di Sabah, dan hari ini kami di Semporna. Ini adalah daerah yang amat dihajati oleh ramai orang sebab dari Semporna inilah ada jeti untok pergi ke pulau2 indah seperti Pulau Mabul dan Pulau Sipadan serta yang lain2. Ada 13 buah pulau di sekitarnya. Program kami di Semporna adalah untok mencari Travel Agency yang menawarkan harga2 menarek untok kami promosikan. Antara yang kami dapat haritu adalah Sea Horse Sipadan Scuba Sdn Bhd dan juga Mydin Lodge Travel And Tours. Boleh dapat info lanjot dengan menonton video dibawah ni Nohhh!

Kami juga sempat tengok2 kehidopan kaum Bajau dirumah atas air Kampong Bangau2. Ada jugak yang tinggal atas perahu, dan ini katanya adalah kaum Bajau Laut. Di dalam video di page facebook Majalah Kapcai Malaysia, kami telah menceritakan sedikit sebanyak perihal kaum Bajau Laut, dan cerita tersebot kami dapatkan dari pendudok di Semporna. Tapi kami agak terkilan dengan beberapa komentar di Video Facebook tersebot (komen dari orang Sabah, mungkin orang Semporna) yang seolah2 memarahi kami orang2 Semenanjong, dengan merasakan bahawa video yang kami upload itu seperti merendah-rendahkan orang2 Sabah khususnya kaum Bajau Laut. Kami hanya menceritakan apa yang kami diberitahu oleh orang tempatan disana mengenai Kaum Bajau Laut, seperti bagaimana mereka mendapatkan air minuman dari Puting Beliung. Ini bagi kami adalah satu kesaktian yang tiada terdapat pada kaum2 lain, hanya speshel untok kaum Bajau Laut sahaja. Tapi penceritaan dan kekaguman kami pada kaum Bajau Laut telah disalah erti, telah diperlekehkan serta kami dimaki dikeji pulak oleh pengKomen tersebot.

Kami datang untok mempromosikan tempat kamu, agar lebeh ramai orang Semenanjong atau orang dari mana2 negara lain datang berkunjong ke Semporna (Sabah secara amnya), tapi kamu memperlekehkan kami bahkan menghina kami orang2 Semenanjong pulak. Walaupon Rockers, jiwa kami agak terasa pedeh jugak dengan cercaan sebegitu. Niat kami disalah erti, bahkan dikutok pulak dengan merawit, memetik dan membabitkan kemiskinan orang2 di Semenanjong pulak. Sampaikan ada yang menulis di komen mengatakan di Semenanjong jugak ada orang yang tinggal diatas air, adakah itu juga orang Bajau Pala’u? Sampai begitu sekali dia punya soalan. Dan Gua dok terpikir jugak, kat Semenanjong, tang mana ada perkampongan atas Air?

Mujorlah yang menulis cercaan itu hanya beberapa orang sahaja, dan majoriti rakyat Sabah yang lain amat2 menghargai kehadiran kami. Terima kaseh buat orang2 Sabah yang berhati murni, dan Fokkkofff untok yang mengeji kami Nohhh!

18 Julai 2023:
Dari Semporna kami meneroskan perjalanan ke Tawau bandar Rockers Jo Yeahhh! Perjalanan dari Semporna ke Tawau tak jauh sangat, sekitar 100KM saja dan jalannya jugak agak baik. Ada highway yang sedang dalam pembinaan tapi dah buleh guna dah sebelahnya. Ride pon agak lancar harini, motor pon semuanya sehat, tapi Bang Man (Azman Ali Rider) punya motor macam ok tak okay. Tapi maseh buleh meneroskan perjalanan Nohhh!

Sampai di Tawau sekitar jam 5 Petang, Gua punya motor pulak buat hal. Lampu check enjin berkelip-kelip pulak dah. Motor pulak start takmau idop, dan kalau idop pon dia jadi sempot dan enjin mati. Pulak dahhhh! Empiiii!

Tanya orang sekitar kat mana bengkel motor, diaorang tunjok area belah sana sikit katanya. Sampai bengkel, pomen pulak kata dia takdak barang spare part (dia agak TPS motor tu problem). Dia kata pegi kedai depan sana sikit, bengkel tu nama Farid 46. Gua pon pergi la cari dan akhirnya jumpalah tempat tuh. Nohhh! ini Farid geng PEKETUM! Jumpa secara tak dirancang Nohhh! Farid ni memang orang Tawau, dan dia buleh dikatakan antara bengkel yang Top lah di Tawau. Bengkel dia jugak ada Dyno, so sesiapa yang tinggal area berdekatan, kalau nak Dyno buleh la pi bengkel Farid 46 nih. Dia Charge RM250 gitu lah untok sekali Dyno.

Pendek cerita, problem motor Gua tu memang datang dari TPS, so tukarlah TPS dan setel lah problem!
Malam tu kami ronda2 sekitar Tawau dan lepak kejap dengan beberapa Raida Tawau antaranya Rudy, Joe Pitstop serta Wan Sapsai. Ni semua Raida2 yang terer jugaklah di Borneo. Pernah bikin solo ride Juboq Besi 24 Jam keliling Sabah Jo Yeahhh!

19 Julai 2023:
Tawau-Kalabakan-Keningau, berjarak lebeh kurang 400KM, dan laluannya adalah yang paling mengerikan dalam pengembaraan kami. Kami bertolak dari Tawau sekitar jam 9 pagi dieskot oleh Joe Pitstop, dan mengisi minyak di Petronas Felda Umas. Inilah stesyen minyak terakhir, dan kita akan berjumpa semula dengan steshen minyak lebeh kurang 250KM didepan nanti. Kalau sebesar tangki Kapcai tu memang kena bawak minyak spare lah. Kami memang dah sedia dah tong minyak 4 liter sorang satu, so memang no problem lah. Perjalanan ini sememangnya mencabar, dengan permukaan jalan yang bersileh ganti antara batu dan tar, boleh dikatakan inilah jalan ‘balak’ yang sebenar di Sabah. Jalan ini sepi, dihimpit hutan2 dara yang pelbagai size, dan kadang2 ditemani dengan laluan sungai yang amat mendamaikan. Ketika sampai di satu tempat bernama Maliau Basin, kami pakat2 topap minyak yang kami bawak dalam tong masing2.

Sedikit info berkenaan Maliau Basin, ianya adalah hutan yang terletak di dalam kedalaman gua berbentuk seperti ‘Besen/ Timba’ ke bawah dengan 1600 kaki dalam. Ianya begitu terpencil dari dunia luar menyebabkan ia kaya dengan spesis – spesis tumbuhan dan haiwan yang begitu ‘jarang ditemui lagi’ di Sabah. Inilah tempat yang mendapat jolokan The Lost World Of Borneo. Malangnya oleh sebab kami kesuntukkan masa, kami hanya singgah di kawasan pintu masoknya sahaja. InshaAllah ada rezeki kami akan datang situ lagi Nohhh! Kami sambong jalan lagi dan sampai satu area tu, Gua rasa motor Gua agak kurang stabil dibahagian belakang.
Pedacherrr! Tayar sudah bocor lagi Nohhh!

Kejadian berlaku di area Sapulut, dan mujor ada sebuah bengkel tepi jalan tu. Brader pomen tu cucok ‘cacing’ kat lobang tu dan nampaknya macam dah okay semula lah. Bayar RM5 dan kami teroskan perjalanan yang berbaki banyak puloh kilometer lagi heh!

Selepas Sapulut, boleh dikatakan berbelas lagi jalan putos2 antara Tar dan Batu yang terpaksa kami lalui, dan keadaan tersebot membuatkan ‘cacing’ penampal tayar motor Gua kembali bocor dan berjalanlah jentera itu terhencot hencot sehingga sampai ke Pekan Nabawan. Alhamdulillah di Nabawan ada bengkel motor dan kami singgah untok kasi tukar teros tayar belakang motor tu Nohhh! Rentas RM75, tersenyum lebar tokey bengkel warga Pakistan itu Oyeahhh!

Dari Nabawan ke Keningau jaraknya lebeh kurang 60KM, dan hari makin gelap dah masa tu. Kami teroskan perjalanan dalam cuaca yang amat baik serta permukaan jalanraya yang selesa, ada koner2 yang agak best dan amat sesuai sangat untok kaki sagat lutot. Akhirnya, kami sampai juga di Keningau sekitar jam 7.30 malam. Dah gelap sangat dah time ni Nohhh!

20 Julai 2023:
Hari ini kami menuju ke Tenom untok tengok keindahan panorama dan jugak merasai aroma kopi. Tenom memang terkenal dengan kilang kopi. Gua sebenarnya bukanlah peminom Kopi, tapi bila dah sampai Tenom, mesti lah nak tengok jugak kan benda2 menarek berkenaan bandar Kopi nih. Kami sempat singgah di Fatt Choi Cafe, dan sempat jugak singgah di Tenom Coffee Valley. Dan ada satu lagi perkara menarek di Tenom yang wajib dicuba yaitu menaiki keretapi klasik Nohhh!

Stesen Keretapi Tenom ke kampong Pangi (Pergi – Balik) ini mengambil masa dalam 25 minit sehala, dengan tambang RM0.65 sen SAHAJA sehala. Pi balek tambangnya RM1.30 aja Nohhh! Di kampong Pangi ada macam2 aktiviti sungai antaranya kayak, water rafting dan jugak Campsite. Ramai pelancong luar negara naik Keretapi Jungle – River View ini kerana ke’ASLI’an suasananya, dan rail keretapi ini boleh sampai ke Tanjung Aru melalui stesen bandar Kota Kinabalu Boleh semak jadual dan pakej pelancongan keretapi di www.sabahrailway.my.

Ini saja tempat yang sempat kami lawati hari ini, dan kami kembali semula ke Keningau petang itu untok bermalam di sebuah Hotel.

21 Julai 2023:
Ini hari yang amat teruja bagi kami sebab kami akan melalui banjaran Crocker untok pulang semula ke KK. Banjaran Crocker sebelom ini hanya dalam impian kami, hanya dilehat di kaca TV serta di gambar2 dalam media sosial sahaja, dan kini kami akan melalui dan mengalaminya sendiri Jo Yeahhh! Tapi sebelom kami naik ke Banjaran Crocker, kami telah melalui sebatang jalan luros terpanjang (19KM) di Malaysia.

Di Banjaran Crocker, kami bertemu dengan dua orang Raida dari semenanjong, sorang nama Nizam Penilaian (dia kerja di KK) dan brader Adam (dari Kuala Kangsar, dia macam kami jugaklah, dalam misi round Sabah). Setelah sembang2 sikit, kami teroskan perjalanan dan masa tu hujan mulai membasahi bumi. Jalanraya di banjaran Crocker agak koner2, naik bukit turon bukit dan ada satu kawasan tu memang berkabos tebal. Gua masa tu dok imajin macam2… mana tau kot tiba2 makhlok macam Gollum melintas ka, pari2 melintas ka. Suasana macam dalam alam fairy tales Gua cakap Lu Nohhh!

Di Banjaran Crocker jugak ada satu tempat dipanggil Magnetic Hill, dimana ianya macam ada kuasa magnet untok menarek objek naik keatas. Kami singgah disitu, dan kami test baringkan satu botol mineral, dan memang botol tu bergolek naik ke atas jalan yang berbukit tu. Yaaa… ada juga yang berpendapat bahawa ianya hanya optical illusion, atau tipu daya mata. Sebenarnya mata kita nampak macam jalan tu sedang menaik, tapi sebaleknya jalan itu sedang menuron kebawah. Ilusi mata kita aja katanya heh! Ntahlah.. Gua pon tak mau nak bertengkaq pasal tu. Yang penting harap sangat pehak berkenaan terutama Sabah Tourism Board agar dapat letakkan papan tanda untok Magnetic Hill di Banjaran Crocker Keningau tuh. Ianya boleh dijadikan satu daya tarikan pelancong sebenarnya. Nanti pendudok setempat pon buleh bukak gerai makan dan buleh jual cenderahati. Kerajaan dapat nama baik, Pendudok dapat menambah pendapatan kan?

Setel di Banjaran Crocker, kami teroskan perjalanan ke Kota Kinabalu, dan sempat jugak singgah sebentar pekena durian yang dijual ditepian Haiwey tuh. Bukan takat durian, dengan buah Tarap pon kami bedal Nohhh! Buah Tarap macam tak biasa jumpa di Semenanjong, dan kebetolan musim buahnya sekarang nih, apa lagi pakat terai la sorang sikit Nohhh!

Akhirnya, setelah 11 hari berkelana di Bumi Sabah, hampir 90 peratos daerah kami lalui, maka berakhirlah sudah misi menjelajah Sabah 2023 yang kami rancangkan beberapa bulan nan silam. Alhamdulillah perjalanan selamat walaupon terdapat dua tiga insiden yang kurang baik, tapi keselurohannya semuanya terkawal dan saksess!

Kami dari tim D’lancongfleet mengucapkan jutaan terima kaseh buat semua yang terlibat, terutamanya penaja2 kami antaranya GIVI, Afrina Batrisya Travel & Tours, Bro’s Moto Crew, Everxon Terra, Laksana Sutera Travel & Tours, Foxdry, Mizu Engine Oil, MJ Car Rental Sabah Tourism Board.

Terima Kaseh juga buat Raida2 di Sabah yang sudi bantu kami, yang belanja kami makan, yang layan kami dengan amat baik, kami terhutang budi pada Lu Orang semua. Terima Kaseh juga buat Orang2 Sabah yang sangat peramah dan terlalu ambik berat dengan Tim D’LancongFleet ini. Di jalanan kami disapa oleh pelbagai kaum, semuanya bertanya hendak kemana, ada apa2 yang boleh kami bantu? Ini soalan2 yang sangat mengesankan didalam hati kami. Orang Sabah memang majoritinya sangat baik, tak kira apa bangsanya, rata-ratanya semua baik hati.
Terima Kaseh Semuanya!

Nota Tambahan :
1. Kami melehat sendiri betapa harmoninya kehidopan orang2 di Sabah, walaupon berbeza agama. Dikampong2, melalui jalanrayanya, dapat dilehat disebelah kanannya Masjid, disebelah kirinya Gereja. Respek buat orang Sabah.

2. Jika order makanan di restoren atau gerai makanan, bersedialah untok mendapat satu hidangan nasik yang banyak! Ya… kalau order nasik Goreng, kalau tangki perot kecik, kompom tak abeh lah. Boleh makan untok DUA orang Nohhh! Majoriti gerai akan sajikan hidangan yang macam tu Nohhh!

3. Harga makanan agak tinggi, satu hari perlukan sekurang kurangnya RM40-50 untok satu orang. Kalau nak save, sila masak sendiri Nohhh! Kadang2 dok fikir, padanlah harga makanan mahal, nasiknya pon membukit keh keh! Lu Bayar dengan harga yang amat berpatotan dengan kuantiti lah Nohhh!

4. Jangan bagi duit kepada budak2 jalanan ketika di Semporna ataupon Tawau. Budak2 tu kadang2 ada barangan jualan (selalunya kacang atau keropok), so kalau kesian kat depa, beli lah barangan jualan tu. Jangan biasakan beri duit begitu saja, sebab nanti akan datang lagi budak yang lain untok mintak dan mintak dan mintak lagi. Beli barang jualan mereka Nohhh!

5. Setiap bandar ada kedai dobi layan diri, jangan risau lah kalau nak bikin Ride round Sabah Nohhh! Anytime boleh basoh baju Oyeahhh!

6. Jika ada rancangan untok ride di Sabah, bolehlah maklomkan kepada Team Escort Sabah. Pergi Facebook, cari nama2 ini, Razali Nj, Antong Pailang, Adie Pelesit Retro, Wan Sapsai, Leng Huhaa, Joe Pitstop (sekadar menyebot beberapa nama ini). InshaAllah nama2 ini akan membantu Lu Orang dalam melancarkan ride di Sabah. Raida2 Sabah memang sangat friendly dan sangat mengalu-alukan kehadiran Lu Orang semua. Respek Sabahan Raida !

Layan Full Video Hari Pertama Hingga Akhir disini :

 

What do you think?

Written by Ripoter Kapcai

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

HARGA ASAS RM 5,998, YAMAHA EGO GEAR KINI DENGAN 3 WARNA BAHARU!

BERHARGA RM 8,838.00, SUZUKI RAIDER 150i ‘KALER’ BARU KINI DIPASARAN JO YEAHHH!