in

Test Ride EBixon Torq: Nak Test, Kena Test Bagi Sunggoh Nohhh!

Walaupun pada permulaan menunggang EBixon TailG Torque ni terasa agak pelik kerana motorsikal ini tidak mengeluarkan bunyi, namun semakin lama bersama EBixon Torq ni, Abah mula rasa semakin selesa dan mula “mengenali” dan “paham” cara menunggang dan mengawal EBixon Torq dan mula jatuh hati kepada skuter elektrik ini.

Walaupun skuter ini tidak mampu bergerak laju tapi ia mudah dikawal kerana skuter ini ringan, mempunyai gear mengundur, tidak perlu ke petrol pam untuk mengisi petrol dan boksnya yang besar boleh menampung sehingga 30 kilogram pada satu-satu masa memudahkan Abah untuk membawa barang barang jika pergi ke pasaraya.

Menunggang Dilaluan Rata Lurus dan Berkonar:

Mengikut ukuran meter GPS, EBixon Torq mampu mencapai kelajuan sehingga 82 kilometer sejam atau 78 kilometer sejam pada odo meter. Dari pengalaman Abah menunggang kapcai, kebiasaannya jika kelajuan meter GPS adalah 100 kmj, kelajuan pada odo meter ialah sekitar 115 kmj (ralat 15kmj). Ini bermakna kelajuan maksima sebenar EBixon Torq mengikut ukuran GPS yang ada tong besar di bahagian belakang adalah sekitar 93 kmj. Tanpa tong di belakang kelajuan EBixon mungkin boleh mencecah sehingga 95 kmj 😁😁

Dengan penggunaan Sistem brek cakera di hadapan dan belakang, Abah merasa lebih yakin untuk melakukan “brek mengejut” berbanding penggunaan “drum brek”. Walaupun ditunggang pada kelajuan maksima di atas lebuh raya, EBixon Torq tetap stabil dan kurang rasa gegaran.
Ketika ride melalui laluan berkonar EBixon Torq tidak menghampakan walaupun ada boks besar di belakang. EBixon Torq mampu mengambil selekoh dengan baik dan tidak membuai ketika Abah acah-acah meleper di Hiway Karak 😁

Laluan Berbukit dan Berkonar:

Untuk menguji kemampuan EBixon Torq mengharung laluan yang berbukit dan berkonar, Abah memilih laluan Kuala Lumpur – Hiway Karak dan Genting Highland. Walaupun Abah tidak menunggang sehingga ke puncak Genting Highland namun Abah dapati EBixon Torq yang dibekalkan dengan kuasa 5 kw atau sekitar 7 Hp mampu mendaki laluan yang berbukit tinggi dengan selamba, lancar dan bergaya.(sebelum ride naik Genting Highland Abah rasa risau dan berdebar juga takut motor menggelungsur sebab tak cukup power 😁😁) tapi Alhamdulillah EBixon Torq mampu beraksi dengan cemerlang untuk membawa Abah minum secawan teh 0 panas di sebuah restoran mamak di Goh Tong Jaya.

Abah tidak meneruskan ride sehingga kepuncak Genting Highland bukan kerana takut dan tidak yakin dengan kemampuan EBixon Torq memanjat bukit, tapi kerana EBixon Torq yang Abah guna ini tidak dibekalkan dengan bateri tambahan (EBixon Torq didatangkan dengan 2 buah bateri kepada pembeli). Jika disertakan dengan bateri tambahan, sudah pasti Abah akan memanjangkan jarak perjalanan hari ini sehingga ke puncak Genting Highland dan sambung perjalanan sehingga ke lemang Toki di Bentong dan singgah pekena secawan kopi di Kampong Janda Baik sebelum balik ke Kuala Lumpur hehehe. Walaupun bateri yang telah dicas penuh mampu menggerakkan EBixon Torq sejauh 100 kilometer (jarak di antara KLCC dan Slim River Perak) namun Abah merasa risau untuk ride sehingga ke puncak Genting Highland kerana Abah di maklumkan bahawa kuasa bateri akan cepat habis jika menunggang pada “full throttle” atau ketika mendaki bukit.

Pengalaman Menunggang Didalam Bandar.

Seperti skuter skuter lain yang pernah Abah guna, tiada masalah bagi Abah untuk menunggang EBixon Torq di dalam bandar kerana kuasa pecutan yang agak ganas dan penggunaan disc brake pada bahagian hadapan dan belakang EBixon Torq memberi keyakinan tambahan kepada Abah ketika memotong, menciluk atau melakukan brek mengejut dicelah celah kenderaan. Walaubagaimanapun sedikit masalah akan timbul jika menunggang di dalam keadaan laluan yang jem teruk kerana cermin sisi kiri dan kanannya agak terlalu capang (lebar) namun pemilik EBixon Torq boleh menukar cemin sisi ini kepada yang lebih pendek untuk memudahkan menciluk ketika menunggang di dalam keadaan jem yang teruk.

EBixon Torq adalah sebuah motorsikal Elektrik yang telah dibawa masuk dan dilancarkan di Kuala Lumpur oleh Ni Hsin Group Berhad pada bulan November 2022. Motorsikal ini dibekalkan dengan bateri lithium 50 AH x 2 biji dan mampu menghasilkan kuasa elektrik 5 KW atau 7 hp, 74 Nm. Setiap satu bateri yang telah dicas penuh mampu menggerakkan EBixon Torq sejauh 100 kilometer atau sejauh 200 kilometer untuk 2 biji bateri. Bateri yang sudah habis kuasa boleh ditukar Kepada bateri simpanan. Masa yang diambil untuk mengecas penuh bateri ini ialah sekitar 7 jam. Oh ya, model Ebixon TailG Torque ini dikhusoskan untok Raida2 yang bermentaliti bisnes, sebab tu ia didatangkan dengan sebuah Boks besar dan cun kat belakangnya. Nak meniaga kopi trending ka, nak meniaga kueh pau inti kerang ka, nak meniaga cucoq atau kueh peneram, inshaAllah bisa dong ahhhh!

Terdapat 3 tahap kawalan kelajuan yang boleh dipilih oleh penunggang menerusi suis yang terdapat pada pemegang sebelah kanan EBixon Torq. Tahap 1 kelajuan maksimum sehingga 70kmj, tahap 2 sehingga 78km/j dan tahap 3 sehingga 90kmj.

Kesimpolannya, jentera berkuasa elektrik ini terbaik dan memuaskan, lasak dan yang penting sekali adalah Ramah Alam Sekitar. Cuma yang kureng sikit adalah tang dia punya harga. Untok model Tailg Torque ini, ianya dijual pada harga RM14,888. Semoga suatu hari nanti, jentera2 berkuasa elektrik sebegini akan dapat dijual pada harga lebeh murah dan mampu milek Nohhh!

Nota : Jentera elektrik ini telah ditunggang uji dengan agak menyeluroh, jalan bandar, jalan desa serta jalan berbukit. Pengujian ini amat berisiko (lebeh-lebeh lagi dijalan yang berbukit) tetapi demi memberikan satu review yang adil dan terbaik untok rujokan Lu Orang, maka kami gagahi jua.

Satu lagi, jentera ini telah mendapat Vehicle Type Approval (VTA) dari JPJ, dan ianya boleh didaftarkan dijalanraya.

Sekian, harap maklong.

Tukang Test Ride : Abah Asri M Nor.

What do you think?

Written by Ripoter Kapcai

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

MODENAS ELEGAN 250 EX: DENGAN EURO 4 DAN LAMPU DEPAN PROJEKTOR BAHARU, HARGA DIBAWAH 17K.

KEJUARAAN PETRONAS MALAYSIAN CUB PRIX MENYAMBUT TAHUN KE-30