Kelab Vector Motocross yang baharu ditubuhkan, hari ini mengumumkan tajaan dari MM Century Sdn. Bhd. ke atas pelumba terbaharu, Dharwin Lingam, seorang pelumba MXGP dengan 13 tahun pengalaman di dalam industri sukan motocross.
Tajaan berjumlah RM200,000 tersebut termasuk menyediakan 2 buah motor berjenama GasGas MC250 seperti yang telah diumumkan oleh Presiden Kelab Vector Motocross, En. Ashok Kumar Rangayah. Kelab Vector Motocross merupakan sebuah kelab baharu yang terdiri dari sepasukan pemikir yang berkongsi minat serta cenderung ke arah memajukan industri sukan motocross negara dan kini sedang mengukir nama di bawah naungan presidennya.
Tajaan ini sangat membantu Kelab Vector Motorsports dalam meneruskan perlumbaan sepanjang perlawanan Malaysia Motorcross Championship 2022 berlangsung. MM Century Sdn. Bhd. optimis bahawa tajaan ini akan mewujudkan impak yang positif di dalam menyumbang ke arah pembangunan sukan motocross negara sekaligus menjadi pemangkin bagi melahirkan pelumba-pelumba berpotensi untuk meraih kemenangan di peringkat antarabangsa.
Dharwin Lingam merupakan seorang pelumba muda berbakat besar serta beriltizam untuk memenuhi impiannya untuk bergelar juara dunia di sukan motocross. Beliau mula berjinak-jinak dan terlibat di dalam sukan motocross ini pada 2008 dan telah memenangi beberapa siri kejuaraan. Beliau telah menyertai 30 perlumbaan dan meraih tempat pertama sebanyak 12 kali. Dharwin juga mempunyai tahap pemahaman mekanikal yang tinggi dalam permotoran dan menjalani latihan professional di Thailand pada 2017.
Pemilihan beliau sebagai pelumba kelab selaras dengan visi Kelab Vector Motocross baharu yang tidak gentar berhadapan dengan risiko perlumbaan. Antara pencapaian terbaik beliau termasuk meraih tempat ke 4 pada Pusingan 1 dan Pusingan 2 di MMSC 2022 dan memenangi tempat ke 13 di peringkat antarabangsa di MX2 GP of Indonesia, Samota-Sumbawa. Pencapaian terkini yang dirangkul oleh beliau pada 25 Disember 2022,dalam pertandingan Malaysia Motorcross Championship 2022 mengukuhkan lagi kedudukan beliau dalam arena sukan motocross negara.
Untuk pelan dan rancangan masa hadapan, Ashok Kumar (Presiden Kelab) menekankan kepentingan matlamat mereka untuk memperkembangkan bakat dan kemahiran Dharwin selain melibatkan beliau di dalam siri perlumbaan-perlumbaan antarabangsa 2023.
Sebagai sebahagian dari inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat, ahli-ahli Kelab Vector Motocross juga telah mencapai persetujuan dan mengesahkan bahawa mereka akan melatih kanak-kanak yang berminat untuk menjadi pelumba professional motocross secara percuma. Kanak-kanak yang berminat akan dilatih oleh Dharwin Lingam sendiri di mana ahli kelab percaya inisiatif sebegini akan meningkatkan semangat semua pihak selain dari memupuk minat kanak-kanak bagi berlumba di dalam persekitaran selamat dengan sentuhan kejurulatihan yang professional.
Comments
Loading…