Kejayaan Kursus Teknik Keselamatan Marshal yang telah berlangsung julung kalinya di Selangor pada September dan Oktober 2020 yang lalu, ianya nyata tidak berhenti disitu. Atas permintaan ramai, GIVI serta Motowazi sebagai penganjur bersama telah meneruskan kempen “Safety Riding Course Tour” di Selatan Malaysia iaitu Bandaraya Bersejarah, Melaka.
Memilih Bandaraya bersejarah Melaka sebagai destinasi pertama untuk “Southern Tour”, kursus ini telah mengumpulkan seramai 40 orang penunggang motosikal yang rata-ratanya daripada Negeri Sembilan dan Johor Bharu. Pemeriksaan dan saringan kesihatan telah dilakukan kepada semua para peserta ketika pendaftaran bagi memastikan tiada penularan wabak mahupun kontak rapat di dalam kalangan peserta serta kakitangan pihak penganjur sendiri.
Masih kekal dengan fokus utama program ini iaitu memberikan pendidikan tentang teknik-teknik keselamatan yang betul kepada penunggang motosikal sebagai seorang marshal, para peserta juga didedahkan dengan undang-undang keselamatan marshal jalan raya yang perlu dipatuhi, daripada Wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM). Antara undang-undang keselamatan marshal yang ditekankan adalah seperti kedudukan serta komunikasi sebagai Marshal ketika berada di jalan raya.
Selain daripada sijil penghargaan bagi setiap peserta, pihak GIVI juga sangat berbesar hati memberi GIVI Helmet M10.2 VISTA kepada semua peserta yang hadir pada hari tersebut sebagai tanda penghargaan kami kepada mereka atas sokongan yang diberikan.
“ Kami sangat berbesar hati kerana dapat meneruskan kempen keselamatan jalanraya sebegini bersama Motowazi dan ini merupakan penghargaan buat kami atas penganjuran kedua bersama Motowazi di Selatan Malaysia. Pemilihan Melaka sebagai destinasi pertama di Selatan Malaysia adalah bagi membuka peluang kepada penunggang-penunggang motorsikal di sekitar Melaka, Negeri Sembilan serta kawasan sekitarnya bagi menyertai bersama. Walaupun masih dalam keadaan Covid 19 yang masih aktif, segala SOP perlu dipatuhi dan saringan kesihatan, pemeriksaan suhu badan dilakukan sebelum program berjalan,” kata pengurus Pemasaran GIVI Asia, Samir Sharman.
Tambahnya lagi, program sebegini mampu meningkatkan kesedaran para penunggang motosikal tentang pentingnya keselamatan jalan raya terutama ketika di dalam kumpulan. Komunikasi ketika di dalam kumpulan adalah paling penting supaya ahli kumpulan tidak menjadi punca kepada kemalangan di atas jalan raya.
Jumpa lagi di siri seterusnya!
Comments
Loading…