Yamaha EZ115 adalah model terbaru yang dibawa masuk Hong Leong Yamaha (HLYM) pada awal tahun ini bagi menggantikan model Yamaha Lagenda 115Z yang sudah 22 tahun menabur bakti kepada rakyat Malaysia.
Yamaha EZ115 merupakan sebuah kapcai yang berkuasa 114cc dilengkapi dengan enjin Euro4 dan mampu menjimatkan penggunaan petrol dan juga mesra alam sekitar. Dengan satu isian penuh tangki yang berkapasiti 3.9 liter, Yamaha EZ115 mampu bergerak sehingga 180 kilometer bersamaan jarak antara Kuala Lumpur dan Gopeng, Perak atau Kuala Lumpur- Maran, Pahang tanpa berhenti (jika mampu).
Yamaha EZ115 sesuai ditunggang di dalam apa juga keadaan atau cuaca kerana ia mudah dikendalikan. Tempat duduknya yang lebar, rata, panjang dan lembut memberi lebih keselesaan kepada penunggang dan juga pembonceng terutamanya jika menunggang pada jarak jauh.
Menunggang di dalam bandar ketika mengharungi kesesakan tidak menjadi masalah kepada penunggang Yamaha EZ115 untuk mencilok-cilok dicelah-celah kenderaan lain kerana cengkaman brek (disc brake) yang cukup baik memberi lebih keyakinan kepada penunggang untuk berhenti secara mengejut jika berlaku sebarang kecemasan. Dengan bekalan 8.5Hp (kuasa kuda) dan berat 98 kilogram, Yamaha EZ115 mampu bergerak pantas, lincah dan memecut (main pick up) di dalam keadaan laluan yang sesak di dalam bandar.
Ketika menunggang untuk mendaki bukit seperti di laluan Hiway Karak dan laluan naik ke Genting Highland juga tidak menjadi masaalah kepada Yamaha EZ115. Pengalaman mendaki laluan Genting Highland terasa menyeronokkan dan santai dengan Yamaha EZ115 di mana penunggang boleh menggunakan gear 3 atau 4 untuk sampai ke puncak Genting Highland, cuma sekali sekala sahaja terpaksa menukar kepada kedudukan gear 2 kerana ada beberapa kawasan yang laluannya yang agak menegak.
Begitu juga ketika menuruni Genting Hingland, penunggang Yamaha EZ115 mampu mengawal motorsikal dengan baik kerana cengkaman breknya yang baik untuk memperlahankan tayar hadapan dan belakang ketika menempuh laluan yang bercuram dan terlalu curam.
Walaupun badan (body) dan enjinnya bersaiz kecil namun Yamaha EZ115 mampu mengharung lebuhraya dengan baik. Kelajuan maksimanya yang mampu mencecah antaar 115 sehingga 120 kilometer sejam adalah kelajuan yang sesuai untuk sebuah kapcai yang berenjin 114cc. Pecutan dari 0 – 100 kilometer juga agak pantas begitu juga kawalan ketika di atas Hiway juga tiada masalah, walau ditunggang pada “full throttle” Yamaha EZ115 tetap meluncur dengan stabil tanpa bergegar atau terasa bergoyang goyang.
Menunggang Yamaha EZ115 di laluan berkonar-konar dan kurang berbukit seperti laluan Hulu Yam – Batang Kali – Goh Tong juga menyeronokkan. Penunggang boleh melayan konar-konar dengan santai sambil menikmati keindahan dan kehijauan alam semula jadi di laluan tersebut.
*INFO TAMBAHAN:
Enjin Yamaha EZ115 boleh dihidupkan dengan dua kaedah iaitu dengan cara menggunakan butang pemula/starter elektrik atau menggunakan penendang kaki. Untuk kemudahan tambahan kepada pemilik Yamaha EZ115, satu ruang tempat mengisi /menyimpan barang disediakan di bahagian bawah tempat duduk. Ruang simpan barang ini berkapasiti 18 liter. Tempat membuka seat disekalikan dengan tempat kunci utama untuk memudahkan pemilik Yamaha EZ115 membuka tempat duduk untuk mengisi petrol atau menyimpan helmet.
Comments
Loading…