in

TEST RIDE SUZUKI BURGMAN STREET 125EX: Dapat Sekejap Pon Dah Rasa Best!

Suzuki Burgman Street 125EX adalah skuter yang baru dilancarkan oleh Suzuki Malaysia untuk pasaran tempatan. Selain Suzuki Burgman Street 125EX Suzuki Malaysia turut membawa masuk satu lagi model iaitu Suzuki Avenis 125.

Abah telah mendapat peluang untuk menunggang Suzuki Burgman Street 125EX di jalanraya di sekitar Subang Jaya Selangor. Walaupun keadaan cuaca pada permulaan perjalanan agak kurang baik (hujan renyai-renyai) namun kami tetap mahu meneruskan perjalanan hari itu dan selepas diberi taklimat ringkas oleh staff Suzuki Malaysia dan marshal-marshal yang mengiringi perjalanan kami yang dianggarkan sejauh 30 kilometer. Walau tak jauh sangat tapi buleh la feel jugak dia punya karektor Nohhh!

Abah dapat menyesuaikan diri menunggang Suzuki Burgman 125EX dengan cepat walaupun dalam keadaan cuaca hujan dan jarang jarang menunggang skuter. Dengan memiliki berat hanya 112 kilogram, Abah dapat menyesuaikan diri dan mampu mengawal Suzuki Burgman dengan baik ketika meredah air hujan yang bertakung di laluan yang kami guna hari ini.

Ada ketikanya kedalaman banjir kilat ini melebihi bahagian tumit dan hampir mencecah kebahagian keting kaki (terdapat penunggang ‘bukan kumpulan kami’ yang terkandas) ketika melalui banjir kilat. Untuk keselamatan semua penunggang, ketika melalui satu laluan, marshal terpaksa membuat keputusan untuk berpatah balik menggunakan laluan lain kerana tidak mahu mengambil risiko kerana air banjir kilat yang bertakung agak dalam.

Meredah banjir kilat di dalam keadaan hujan merupakan satu pengalaman baru bagi Abah. Ada kalanya terasa risau juga takut terlanggar lubang yang dipenuhi air, jika terjatuh pasti akan basah kuyup dan menjadi masalah dan menyusahkan kawan-kawan yang lain. Satu kelebihan menunggang skuter Suzuki Burgman 125EX berbanding motorsikal biasa seperti kapcai atau motorsikal yang digunakan oleh marshal ialah mereka basah kuyup kena hujan, manakala kami yang menunggang Suzuki Burgman tidak basah lencun teruk seperti mereka keh keh.
Kelebihan “test ride” kami pada hari itu ialah dapat menunggang Suzuki Burgman 125EX di dalam keadaan cuaca hujan dan menempuh banjir kilat dibeberapa kawasan, melalui permukaan jalanraya basah dan licin.

Skuter Suzuki Burgman yang dibekalkan dengan enjin 124.3cc, satu silinder, SOHC dan 2-valve juga mampu mencilok dengan baik di dalam kesesakan kenderaan di jalanraya di mana kenderaan dipandu perlahan kerana laluan dipenuhi air hujan yang bertakung. Suzuki Burgman 125EX ini dipasang dengan Brek cakera di hadapan dan jenis drum di bahagian belakang mencengkam dengan baik ketika melakukan brek mengejut (kecemasan) ketika mencelah-celah di dalam kesesakan kenderaan.

Sepanjang perjalanan menempuh laluan “mencabar” itu Abah dapat merumuskan bahawa Suzuki Burgman ni adalah sangat sesuai untuk kegunaan rakyat Malaysia yang beriklim khatuistiwa di mana keadaan cuacanya yang kerap hujan dan panas. Bagi pendapat Abah jika Suzuki Burgman 125EX boleh beraksi dengan baik dalam keadaan berhujan dan permukaan jalanraya yang licin, sudah pasti Suzuki Burgman 125EX juga mampu meluncur dan dikendali dengan lebih baik dalam keadaan cuaca yang normal dan permukaan jalanraya yang kering.

Tempat duduk yang lebar dan ruang kaki yang luas juga memberikan keselesaan kepada penunggang untuk menunggang pada jarak dekat atau jarak jauh. Oleh kerana Abah menunggang dalam keadaan jalanraya yang basah dan masa yang terhad, maka sudah pastilah Abah tak dapat memaklumkan kemampuan pecutan dan top speed sebenar jentera ini

Bunyi enjin juga agak senyap ketika mula menghidupkan enjin dengan menggunakan suis penghidup enjin. Walaupun Abah tidak dapat menunggang uji sepenuhnya Suzuki Burgman 125EX kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, laluan yang pendek dan masa yang terhad (sekitar 30 minit) namun Abah dapat merasakan Suzuki Burgman 125EX adalah yang terbaik dalam kelasnya. Insya Allah jika mendapat peluang Abah akan cuba untuk membelai dan bermesra dengan Suzuki Burgman dalam jangka masa yang lebih lama di masa akan datang.

Berdasarkan data yang di maklumkan secara ringkas kepada kami, Suzuki Burgman ini dibekalkan dengan enjin yang berkuasa sehingga 8.5hp pada 7000 Rpm sesuai dengan enjin 125cc yang dimilikinya. Penggunaan petrol yang menjimatkan, siap dipasang dengan tayar jenama Dunlop, terdapat port mengecas hp, ruang simpan barang di bahagian bawah tempat duduk, ruang menyimpan barang kecil di bawah hendel, muatan tangki petrol 5.5 liter, lampu hadapan dan belakang LED serta paparan meter digital sepenuhnya.

Kehadiran Suzuki Burgman 125EX pasti akan menggembirakan peminat-peminat motorsikal Suzuki dan mengimbau kenanngan pengguna skuter Suzuki terutamanya peminat skuter yang pernah menggunakan skuter Suzuki V100 atau Suzuki VS 125 yang popular pada satu ketika dahulu.

Teks dan Gambar Oleh: Asri M. Nor

What do you think?

Written by Ripoter Kapcai

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

RACE PUSINGAN 2 IDEMITSU FIM ARRC 2024 ZHUHAI DIBATALKAN!

AVETA RANGER MAX EXPLORER RIDE AND CAMP 2024: Bercalar Lutot Jugak Nohhh!