Kami mula berkumpul di BHP Tol Gombak pada pukul 7.30 pagi walaupun mengikut jadual, “tayar golek” pukul 8.30 pagi. Kami berkumpul lebih awal kerana kami telah mewajibkan setiap peserta konvoi membuat swab test sebelum bergerak ke Rumah Anak Yatim Darul Izzah. Hanya peserta yang membuat swab test pada hari kejadian dan yang telah lengkap mengambil 2 dos vaksin sahaja dibenarkan menyertai konvoi hari ini kerana kami tidak mahu sebarang kejadian penyebaran Covid 19 berlaku ketika kunjungan kami ke pusat Anak Yatim tersebut.
Alhamdulillah semua peserta di dapati negatif dan tiada simpton Covid 19 dan kami memulakan perjalanan tepat pada pukul 8.30 pagi.
Dalam perjalanan ke Temerloh kami berhenti di Petronas sebelum sampai ke plaza tol Bentong untuk mengisi minyak kerana menurut kata salah seorang “marshall” yang telah meriki laluan, petrol motorsikal kami mungkin tidak mencukupi untuk sampai ke Temerloh walaupun kami telah mengisi penuh tangki di BHP tol Gombak. Pergerakan perjalanan kami berjalan lancar sehingga kami sampai dan singgah di kedai makan Gobang Maju Temerloh. Kami berhenti di sini untuk bergabung dengan jentera Honda RS (15 buah) dari Pahang terutamanya dari sekitar Temerloh.
Setelah berehat dan bersuai kenal dengan rakan-rakan baru dari negeri Pahang yang pertama kali bersua muka, kami meneruskan perjalanan ke pusat jagaan anak yatim yang terletak lebih kurang 15 kilometer dari Gobang Maju dengan di ketuai oleh seorang ahli dari Temerloh. Kami tiba di Pusat Anak Yatim Darul Izzah sekitar pukul 10.00 pagi.
Ketika kami sampai di rumah anak-anak yatim ini, suasananya agak tenang kerana anak-anak yatim yang berada di sini berada di dalam bilik masing-masing. Mereka di tempatkan di dalam sebuah asrama 3 tingkat yang terdapat di sini.
Abah dan Admin bertemu dengan Tuan Hj Jauhari iaitu Setia Usaha pusat Kebajikan ini untuk bersuai kenal dan untuk mengetahui sedikit sebanyak latar belakang pusat kebajikan ini.
Menurut kata Ustaz Hj Jauhari, rumah kebajikan ini mula di tubuhkan di sini sekitar tahun 2002 di atas tanah yang diinfakkan oleh seorang individu. Pada mulanya luas kawasan ini hanya seekar lebih namun kawasan ini bertambah besar sehingga hampir menjadi 4 ekar hari ini apabila mereka telah berjaya membeli tanah sekitar pusat ini hasil dari sumbangan orang ramai dan hasil dari perniagaan dan sewaan bangunan kedai milik pusat kebajikan ini. Pusat kebajikan yang ada di sini adalah cawangan kepada pusat kebajikan induk yang berada di Bangi Selangor.
Terdapat hampir 40 orang anak-anak yatim yang ke semuanya adalah wanita berada di bawah jagaan Darul Izzah ini. Mereka yang ada di sini berusia dari 7 tahun sehingga 19 tahun dan terdapat juga hampir 15 orang warga emas yang turut berada di bawah jagaan pusat kebajikan ini.
Menurut kata Ustaz Hj Jauhari, sumber utama untuk pembiayaan di pusat ini datang dari JKM, sewaan bangunan/kedai dan juga sumbangan dari orang ramai termasuk juga dari group group permotoran dan kereta.
Menurut kata Ustaz Hj Jauhari, ketika PKP dilaksanakan baru-baru ini, hasil dari sumbangan orang ramai kepada pusat kebajikan ini turut terjejas.
Selepas berborak santai bersama Ustaz Hj Jauhari, kami meneruskan majlis penyampaian sumbangan hasil dari kutipan sahabat-sahabat yang memberi sumbngan secara spontan ketika kutipan dilancarkan sebelum kami bergerak dari BHP tol Gombak tadi. Terdapat juga sahabat- sahabat yang membawa dan menyerahkan sendiri sumbangan kepada Ustaz Hj Jauhari.
Selepas selesai sesi penyerahan dan bergambar kami bergerak menuju ke kedai makan ikan patin masak tempoyak yang terletak di tebing sungai Pahang di pinggir bandar Temerloh. Walaupun baru sebulan memulakan perniagaan namun masakan di kedai Patin Madu di Kampong Bangau ini setanding dengan masakan ikan patin tempoyak di kedai yang sudah lama beroperasi dan terkenal di kalangan peminat ikan patin masak tempoyak Temerloh. Keistimewaan kedai ini ialah ia memiliki sangkar membela ikan patin berhampiran kedainya di tebing sungai Pahang.
Acara dan lokasi wajib yang terakhir kami sebelum bersurai hari ini ialah bergambar di Dataran Sungai Pahang. Setelah selesai semua program yang diatur kami bersurai dan bergerak mengikut haluan masing masing. Ada yang sambung berkonvoi ke Genting Highland😊😊, ada yang balik kampung ke Melaka dan Johor, ada yang balik ke Mentakab, Jengka dan daerah lain di Pahang..
Alhamdulillah perjalanan program Ride Amal #HRSCM berjalan lancar dari mula hingga ke akhir perjalanan. Terima kasih kepada semua sahabat- sahabat yang menyertai program dan memberi kerjasama yang baik bagi menjayakan program ini.
In Syaa Allah kami (Admin) akan berusaha untuk memberi penambahbaikan untuk program-program yang akan dianjurkan di masa akan datang.
Teks Dan Gambar Oleh : Asri Md Noor (Abah)
#Fb_HondaRSClubMalaysia
#HRSCM
#rumahanakyatimdarulizzah
#majalahkapcai
Comments
Loading…