in

HUJAN TAK HALANG HELMI AZMAN KUASAI PERLUMBAAN AKHIR KELAS CP15

SEPANG, 18 Julai – “Perlumbaan hari ini tidak semudah yang dijangkakan. Ia berlangsung sengit sejak daripada permulaan, namun saya bersyukur kerana berjaya mengawal keadaan dengan baik serta lebih berhati-hati terutama selepas hujan turun ketika saingan memasuki lap keenam.

“Prestasi jentera juga telah memberi kepuasan kepada saya dan terima kasih kepada pasukan yang bertungkus-lumus menyediakan ‘setting’ terbaik terhadap jentera Honda saya untuk menempuhi perlumbaan hebat ini.”

Itu ungkapan pelumba pasukan Hi Rev SCK Honda Racing, Md Helmi Azman sebaik dinobatkan sebagai juara perlumbaan akhir kelas CP150 pada Pusingan 1 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2020 di Litar Sepang (utara) petang ini.

Pada perlumbaan tersebut, Helmi menamatkan saingan dengan catatan masa 15:34.837 saat (s), sekali gus meraih 20 mata kejuaraan setakat ini.

Helmi yang turut tampil hebat pada sesi kelayakan semalam, meneruskan rentak cemerlang pada perlumbaan akhir hari ini dan sebaik perlumbaan bermula, dia tidak membiarkan pelumba lain untuk berada di hadapannya.

Sejak lap pertama, dia pantas menempatkan dirinya dalam kelompok hadapan meskipun telah beberapa kali cuba dipintas oleh pencabar terdekatnya, Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Idemtisu Honda Yuzy Racing.

Azroy antara pelumba yang diramal mampu menguasai aksi akhir hari ini, selepas muncul terpantas pada sesi kelayakan semalam.

Namun, nasib ternyata tidak menyebelahi Azroy kerana dia turut terlibat dalam kemalangan membabitkan enam pelumba di lap keenam, namun dia pantas bangkit meneruskan saingan untuk menamatkan perlumbaan akhir itu di tempat ketiga dengan masa 15:54.446s.

Tempat kedua menjadi milik pelumba pasukan AHM Motorsports, Md Khairul Ikhwan Ajis dengan masa 15:51.278s bagi membolehkannya meraih 16 mata kejuaraan.

Sementara itu, barisan pelumba pasukan ONEXOX telah menguasai saingan bagi perlumbaan akhir kelas CP125.

Md Syafieq Aiman Md Fauzi (ONEXOX SAG Team) mencuri tumpuan apabila muncul juara dengan catatan masa 11:21.868s manakala Md Shafiq Rasol (ONEXOX TKKR SAG Team) berada di tempat kedua dengan masa 11:21.875s

Seorang lagi rakan mereka, Md Hafiza Rofa menamatkan perlumbaan 8 lap itu di tempat ketiga dengan catatan masa 11:21.913s.

Bagi kategori Wira pula, Rahimi Nabil Razu melakukan kejutan apabila menjuarai perlumbaan tujuh lap itu.

Meskipun mendapat tentangan sengit daripada pencabarnya terutama pada lap terakhir, namun ia tidak menggugat peluang pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing itu untuk bergelar juara apabila terlebih dahulu mencecah garisan penamat dengan catatan masa 10:16.015s.

Ia dilihat sebagai permulaan baik buat pasukan tersebut musim ini selepas berjaya melahirkan juara keseluruhan kelas Wira pada musim lalu menerusi Aliff Danial yang kini naik pangkat ke kelas CP125 bersama pasukan baharu, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor.

Tempat kedua perlumbaan akhir kelas Wira itu hari ini diraih pelumba pasukan ONEXOX SAG Team, Md Izzat Md Raduan dengan merekodkan masa 10:16.016s manakala di tempat ketiga menjadi milik Md Harith Haziq Zamri (Castrol Power1 Racing Team) dengan masa 10:16.058s.

Sebaik berakhirnya saingan hari ini, Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS akan berehat seketika sebelum meneruskan aksi Pusingan 2 yang dijadualkan berlangsung di Litar Lumba Tangkak, Johor pada 22-23 Ogos depan.

What do you think?

Avatar

Written by Editor

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

KAPCAI GPX POPZ 110 AKHIRNYA MASOK MALAYSIA!

INILAH DUA AWEK CUN YANG MENGGEGARKAN LITAR CUBPRIX 2020!