Selepas beberapa bulan aktiviti berkonvoi terhenti berikutan pendemik COVID-19 yang melanda (dan maseh belom selesai hingga kini, tapi menteri kata keadaan terkawal), Gabungan Kelab Bikers Wanita (GKBW) nampaknya seperti dah tak buleh tahan dah dengan jentera masing2. Maka, destinasi yang dipilih untok melepas gian adalah merupakan lokasi yang damai dan tenang, jauh dari kesibukan kota.
Tumpuan sepenuhnya kini tertumpu untok berkembara di dalam negara, ini merupakan salah satu cara GKBW berbakti kepada negara iaitu dengan memilih lokasi pelancongan domestik, dengan ini sedikit sebanyak membantu memulihkan semula industri ini yang terjejas akibat wabak COVID-19. Dalam masa yang sama GKBW menjadi ajen promosi yang mengetengahkan lokasi-lokasi menarik tempatan.
Ride kali ini sedikit berbeza, semua peserta yang terdiri dari ahli gabungan dari seluruh negara mula berkumpul di Pitstop J192 D’Warong Zuha yang teletak di Bandar Tangkak pada 19 September jam 8.30 pagi. Segalanya bermula disini.
Sebagai lokasi pertemuan, Pitstop J192 telah menyajikan sarapan yang amat sedap buat semua peserta konvoi kali ini. Satu majlis perlepasan ringkas telah diadakan.
Dalam masa yang sama pihak Majlis Keselamatan Negara telah menyumbangkan pelitup muka untuk semua peserta konvoi. Penolong Pengarah MKN Negeri Johor, En. Zainuddin Hassan sendiri telah menyampaikannya pada pagi tersebut.
Jabatan penerangan selaku penganjur bersama telah menempatkan sebuah van penerangan sebagai van pengiring untuk mengiring sepanjang perjalanan konvoi.
Lokasi pertama yang dituju ialah Balai Bomba Tangkak. Pemilihan lokasi ini ialah salah satu dari wadah aspirasi semangat wanita oleh GKBW. Jarang kita ketahui seorang wanita dilantik menjadi Ketua Balai Bomba. Begitulah kisahnya konvoi ini yang disambut oleh PPGB Rafiah Binti Aziz dan anggotanya di Balai Bomba Tangkak. Disini geng konvoi telah diberikan taklimat dan demonstrasi mengendalikan kebakaran dan juga tatacara nyah kuman COVID-19 sepertimana yang dilakukan oleh anggota bomba kepada masyarakat. Satu pelajaran baru dapat dirasai di Balai Bomba tersebut. Terima Kaseh!
Lokasi seterusnya juga adalah agenda aspirasi kejayaan seorang wanita, kali ini dalam bidang perniagaan dan keusahawanan. Konvoi GKBW menuju Kampung Seri Makmur yang terletak lebih kurang 5 KM dari pekan Tangkak. Setibanya disini, peserta Konvoi di sambut meriah oleh Warga Azzu Bahulu Ledang dan En Zabridin Ahmad, Pengerusi MPKK Kg Seri Makmur. Azzu Bahulu Ledang merupakan salah satu tumpuan pelancongan di Daerah Tangkak. Puan Azzu yang mengusahakan pembuatan bahulu merupakan pengeluar aneka kuih bahulu yang boleh didapati produknya di pasaranya tempatan serta luar negara! Hebat bahulu Puan Azzu ni Nohhh! Selain dapat merasa keenakan bahulu panas, peserta konvoi dapat juga dapat melihat sendiri bagaimana bahulu dihasilkan. Walaupun hanya dengan lawatan yang ringkas namun kesannya begitu besar. Ramai yang teruja melihat bagaimana makanan tradisi ini dihasilkan dan telah dikomersilkan dalam pelbagai bentuk yang menarik.
Dalam bergembira menikmati panorama indah di Bandar Tangkak, GKBW tidak lupa mereka yang kurang bernasib baik khususnya di Tangkak. Dalam perjalanan menuju ke Taman Negara Gunung Ledang, konvoi GKBW singgah di Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Daerah Ledang. Sejumlah dana telah dikumpulkan dari Kalangan ahli GKBW dan sumbangan disampaikan sendiri oleh Puan Maznah Muhamad kepada Tuan Haji Rahman selaku Ahli Jawatan Kuasa pertubuhan. Hanya sekadar majlis ringkas dan pantas. Peraturan dan SOP diperketatkan apabila melibatkan urusan dengan rumah anak yatim.
Selepas itu, lokasi yang terakhir pada hari tersebut ialah menuju taman negara Gunung Ledang. Sejak dari awal tiba di Tangkak sudah kelihatan Gunung Ledang terbentang menjadi latar belakang Bandar Tangkak, bermakna Gunung Ledang sudah tidak jauh, hanya mengambil masa beberapa minit sahaja untuk menjejaki Taman Negara Gunung Ledang. Setibanya di Taman Negara, Konvoi GKBW disambut meriah oleh kakitangan Taman Negara dan Kakitangan Pejabat Daerah Tangkak, Pengarah Taman Negara Tuan Haji Hanis Musalman Salehan dan Pegawai Daerah Tangkak Tuan Haji Shafiei Ahmad juga turut bersama.
Tetamu kehormat pada majlis ini ialah Dr Chong Yat Full Adun Pemanis yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor. Dr Chong dalam masa yang sama berbesar hati menyampaikan watikah perlantikan wakil GKBW bagi setiap gabungan kelab. Majlis sambutan ringkas ini berakhir dengan jamuan tengahari dan persembahan kebudayaan.
Pada sebelah malam pula diadakan satu majlis makan malam bersama semua ahli GKBW. Majlis makan malam ini bertambah meriah kerana dihadiri oleh YB Tuan Haji Mohd Solihin Badri, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan Dan Infrastruktur Johor, En Zabridin Ahmad, Pengerusi MPKK Kg Seri Makmur dan Dato Sri Zuhairi Hj Ab Kadir yang merupakan Penaung Daz Bikers yang turut berkonvoi dari Pahang ke Gunung Ledang.
Pada malam jamuan itu, YB Tuan Haji Mohd Solihin Badri sudi menyampaikan sijil penyertaan kepada ketua-ketua Gabungan untuk diberikan kepada ahli masing-masing. Dalam majlis ini juga pihak GKBW meraikan harijadi buat ahli-ahlinya yang tarikh lahirnya jatuh bulan September dan diselangi dengan persembahan selebriti jemputan yaitu Khaty Azean, Rina Eva dan UG Rock Klasik.
Pada keesokkan harinya, bagi mengeratkan lagi keakraban sesama ahli, GKBW mengadakan acara padang melibatkan permainan secara berkumpulan. Semua turut serta tak mengira umur dan latar belakang. Aktiviti berlangsung dari awal pagi hinggalah menjelang tengahari. Jelas terpancar suasana kegembiraan bagi semua ahli yang turut serta. Acara berakhir dengan penyampaian hadiah bagi setiap pemenang.
Jam 2 petang, semua kembali berkumpul untuk pulang, lokasi terakhir ialah berkumpul semula di Pit Stop J192 D’Warong Zuha untuk majlis perpisahan. Dalam pada masa yang sama, GKBW juga dijemput untuk memeriahan majlis pelancaran D’Warong Zuha sebagai salah satu lokasi Pitstop dalam Malaysia Local Route. Semoga GKBW teros maju jaya dimasa depan. Kalau ada event lagi, jangan lah lupa ajak kami keh keh!
Rock N Ride Nohhh!
Comments
Loading…