Keseronokan pengembaraan yang bakal menambat hati peminat motosikal Malaysia dengan adanya pelancaran Ranger Cub Cross 115, iaitu penambahan terbaru kepada keluarga model Ranger dari Aveta Malaysia Sdn. Bhd.
Dibina atas legasi terdahulu model Ranger 110 yang terkenal, model ini direka untuk memenuhi keperluan generasi baru peminat motosikal yang mencari sebuah Adventure Cub yang mampu milik dan baru berjinak dengan dunia permotoran adventure berkapasiti kecil. Selain itu, model ini juga menawarkan wajah baru yang lebih berversatil dan berorientasikan gaya hidup atau lifestyle.
Antara ciri-ciri menarik model ini ialah bentuk fizikalnya yang ringan dan mudah dikawal, gabungan sempurna reka bentuk klasik dan prestasi pengembara serta mempunyai imej yang tersendiri dan tidak menyerupai mana-mana model lain di pasaran.
Didatangkan dalam dua pilihan varian iaitu varian standard berwarna Hunter Green, dijual pada harga RM4,988, dan varian edisi khas berwarna Desert Storm, dijual pada harga RM5,188; harga tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Motosikal ini hadir dengan waranti dua tahun atau 20,000km, yang mana terdahulu.
Kedua-dua varian motosikal ini dipacu oleh enjin empat lejang berkapasiti 113cc dengan sistem sejukan udara yang menghasilkan kuasa enjin 6.5kW dengan tenaga kilasan 9.0Nm. Malah motosikal ini juga mudah dikendalikan kerana mempunyai sistem penukaran gear tanpa tuil klac. Jadi, sama ada tunggangan di lebuh raya, di dalam bandar atau di laluan off-road, kuasa dan responsif jentera ini memastikan perjalanan yang lancar dan selesa.
Dipersiapkan untuk mode pengembaraan, Ranger Cub Cross 115 menampilkan cermin angin depan, ‘hand-guard’, ‘rear mud-guard’, meter digital, dan kedudukan paip ekzos yang lebih tinggi berbanding biasa.
Malah dari segi keselamatan motosikal ini dilengkapi dengan brek cakera depan dan brek drum belakang untuk daya henti yang cekap dan berkesan. Motosikal ini juga dilengkapi dengan lampu LED depan dan belakang bagi memastikan visibiliti yang lebih baik dalam semua keadaan.
Bagi varian edisi khas, Desert Storm, motosikal ini dilengkapi dengan tayar dual-purpose dan rim berjejari, manakala bagi varian standard, Hunter Green, ia dilengkapi dengan rim sport.
Mengulas tentang pelancaran ini, Steven Lim, Pengarah Urusan Aveta Malaysia, berkata, “Ranger Cub Cross 115 mewakili era baru dalam dunia permotoran kembara. Kami menerapkan rekaan setiap aspek motosikal ini berdasarkan maklum balas daripada pelanggan kami untuk memberikan pengalaman tunggangan yang lebih menyeronokkan. Kami sentiasa komited untuk menghasilkan produk yang mampu milik dan kini kami percaya bahawa semua orang mampu mengembara dengan adanya Ranger Cub Cross 115 ini.”
Dengan model baru ini, Aveta berharap untuk merentasi batasan dan menyediakan sebuah Adventure Cub mampu milik yang cemerlang dalam kondisi on-road dan off-road.
Penjualan Aveta Ranger Cub Cross 115 akan bermula secara rasmi pada bulan Julai 2024. Pelanggan yang membuat pra-tempahan awal akan menerima T-shirt eksklusif. Untuk maklumat lebih lanjut tentang motosikal Aveta di Malaysia, sila lawati www.aveta.com.my.
Comments
Loading…