Selepas melancarkan RT2 baru-baru ini, hari ini WMOTO Malaysia sekali lagi melancarkan model skuter 150cc terbaharu iaitu RT1. Pelancaran model baru ini menambahkan lagi koleksi dalam siri RT selepas RT2 dan juga RT3. Dengan tiga warna pilihan iaitu Enchanting Blue, Mystique Black dan Dazzling Grey, WMOTO RT1 dijual dengan harga permulaan cuma RM9,888.00 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.
Dengan menggunakan enjin 149.3cc, silinder tunggal, 4-lejang, ianya mampu menghamburkan kuasa maksimum 11.5Kw pada 8,000rpm dan tork maksimum 14.5Nm pada 6,750rpm. Dengan ciri-ciri yang menarik, semestinya model ini mampu memenuhi citarasa dan keinginan peminat-peminat skuter terutamanya.
WMOTO RT1 menampilkan nilai eksklusifnya apabila menggunakan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) dan panel meter jenis TFT sekaligus menjadikan model ini merupakan skuter 150cc yang pertama dilengkapi dengan sistem dan ciri ini. Untuk sistem TCS, ia sangat berfungsi untuk menjamin keselamatan penunggang dimana ianya untuk mencegah tayar motosikal dari tergelincir ketika menunggang terutamanya atas jalanraya yang licin akibat hujan.
Terdapat juga sistem Brek Anti-Kunci (ABS) untuk meningkatkan tahap keselamatan tambahan pada model terbaharu WMOTO ini. WMOTO RT1 menggunakan sistem pencahayaan LED penuh pada lampu hadapan dan juga belakang serta mempunyai reka bentuk yang tajam menjadikan ianya kelihatan lebih kemas.
Sama seperti RT2 dan RT3, model ini ini didatangkan kamera papan pemuka hadapan dengan kualiti setinggi 1080p di mana para penunggang dapat merekodkan perjalanan anda dengan lebih jelas. Selain itu juga, skuter ini menggunakan sistem kunci pintar yang mudah digunakan untuk menghidup dan mematikan enjin.
Menambahkan lagi ciri kekemasan pada skuter ini, WMOTO RT1 turut dipasang dengan pad anti-gelincir di bahagian pemijak kaki dan pedal penumpang yang bersalut aluminium. Di bawah tempat duduk, terdapat ruang simpanan yang luas yang turut dipasang dengan lampu LED yang cukup membantu menyuluh ruang simpanan terutamanya ketika suasana gelap. Melengkapkan lagi kesempurnaan adalah cermin penghadang angin yang bergaya.
Dengan setiap pembelian WMOTO RT1, para pembeli boleh menikmati jaminan waranti perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.
Comments
Loading…