Imperiale 400 yang telah dilancarkan semasa Kejohanan MotoGP 2019 di Sepang, akan diedarkan di semua kedai wakil penjual sah Benelli mulai minggu ini.
Pengurus Besar Operasi MForce Bike Holdings Sdn. Bhd, Asri Ahmad, berkata model ini menerima sambutan yang sungguh memberangsangkan daripada para penggemar motosikal klasik. Sebanyak 100 unit Benelli Imperiale 400 telah pun habis ditempah oleh para pelanggan sejak bulan Januari 2020.
“Kami juga memohon maaf kepada para pelanggan yang telah membuat tempahan kerana terpaksa menunggu lama untuk menerima motosikal mereka disebabkan oleh penularan wabak COVID-19 yang melanda negara baru-baru ini”, ujarnya lagi.
Beliau menjangkakan model ini akan habis terjual sebelum penghujung tahun ini sekaligus berjaya mencapai sasaran jualan tahunan syarikat sebanyak 300 unit pada tahun ini berdasarkan jumlah tempahan baru yang diterima.
Benelli Imperiale 400 adalah model yang diilhamkan semula dari model klasik Benelli-MotoBi yang dikeluarkan di Itali sekitar 1950-an menggunakan enjin satu silinder suntikan bahan api dengan sistem penyejukan udara yang dipadankan bersama kotak gear lima kelajuan.
Imperiale 400 ditawarkan dengan tiga pilihan warna, iaitu hitam, merah dan kelabu, dijual pada harga RM15,888. Jaminan adalah selama dua tahun atau 20,000 kilometer, yang mana terdahulu. Disaran untuk menggunakan minyak enjin PJ1 semasa servis anda, merupakan produk rasmi untuk semua motosikal Benelli.
Selain mengedar, MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. juga turut memasang dan menawarkan perkhidmatan selepas jualan termasuk alat ganti dan perkhidmatan Pembelian Alat Ganti Tulen Atas Talian (012-4122 933) bagi rangkaian produk Benelli di pasaran negara.
Comments
Loading…