in

AKIBAT BORDER TUTOP, JENAZAH MUSLIM NYARIS DIBAKAR!

Cikgu Joe Satun Menjadi Hero Penyelamat! Tahniah!

Menjadi bikers, berkelana dinegara orang dan berhari raya diperantauan adalah sesuatu yang agak shahdu bagi sesetengah orang. Tapi bagi Cikgu Joe Satun (CJS) benda raya diperantauan ni small matter lah. Jom kita baca cerita CJS yang tersangkot tak boleh balik Malaysia akibat border tutop dan cerita bagaimana jenazah seorang Muslim yang nyaris2 dibakar.

CJS ataupon Cikgu Joe Satun, satu nama yang amat dikenali oleh bikers/raider2 di Malaysia. Kalau ada yang belom kenal atau tak pernah dengar nama dia nih, meh Gua nak cerita sikit pasal dia nih.

Cikgu Joe Satun berasal dari Kedah, (tak pasti dia ada hubongan persaudaraan dengan Dr. Mahathir ataupon tidak, tapi yang nyatanya CJS dan Dr Mahathir serta Riduan Kedah sama2 berasal dari Kedah). CJS mula menetap di wilayah Satun Thailand semenjak 2011 (kahwin dengan orang Satun/Setui/Setol). Pada satu ketika tu, CJS dan isterinya balek ke Satun melawat keluarga mertuanya, kebetolan kakak iparnya eksiden takdak sapa nak jaga, so dia ambik keputosan untok tolong jaga ipar dia dan asbab dari itu, CJS ambik keputosan untok teros menetap di Satun Thailand. Untok survive disana, CJS dan bini dia buat bisnis berasaskan pelancongan dan cenderamata untok bikers. CJS bukak satu Pitstops di Satun (lebeh tepat di Pak Bara) yang diberi nama CJS Satun 406. Tulis aja kat Google CJS Satun 406, nanti keluarlah segala info Nohhh!

Selain bisnis berkaitan Pelancongan, CJS jugak menjadi cikgu sukarela di sebuah sekolah tadika (Tadika Misbahuddin Ban Khuan Satun). Dia akan mengajar Fardhu Ain pada setiap Sabtu dan Ahad setiap minggu dan kerjanya tu tidak bergaji. Menurot CJS, mengajar di Tadika tu agak syok sebab budak2 situ boleh cakap Melayu dialek Kedah. Memang mudah lah nak deliver mesej.

Kami dok ingatkan CJS akan bersedeh sendu syahdu sebab tak boleh balek beraya di Malaysia, tapi anggapan kami tersasar. CJS kata, selama 10 tahon dia tinggal di Siam, jarang2 dia balek ke Malaysia, apatah lagi untok berhari raya sebab di kampongnya dah takdak sapa2 dah. Last dia balek Malaysia pada 2018-19, masa tu dia ride keliling Malaysia selama 44 hari bersama anak dan bini dia. Ride tu adalah ride yang boleh dikatakan tergolong dalam kategori rare lah sebab depa anak beranak hanya ride dengan jentera Kapcai aja, kalau tak silap Suzuki Smash. Naik bertiga atas sebuah jentera Kapcai dengan box dan barang2, memang betol2 dah macam Mat Saleh. Dan itulah kali terakhir dia balek Malaysia. Ni dah masok penyakit Covid nih, nampaknya lagi payah lah dia nak balek Malaysia kan..

Jadi, apakah aktiviti CJS di Satun bila tiba bulan Ramadhan? Okay, CJS selain menjadi bisnismen dalam bidang pelancongan dan cenderamata, dia jugak menjadi aktivis sosial disana. Banyak jugak kes2 Raider dari Malaysia yang ride ke Thailand dan berhadapan dengan masalah akan mendapatkan pertolongan daripada CJS. Dan bila masok bulan Romadhon pulak, ianya akan menjadi bulan yang paling sibok bagi CJS sebab dia akan menggandakan kerja2 MBB (Mari Bertolong Berkebajikan), dan selalunya dibulan posa nih dia akan cari jalan untok bagi sumbangan bahan makanan kepada orang2 susah di sana. Beras dan keperluan asas adalah antara sumbangan CJS kepada pendudok setempat, dan perkara ini sebenarnya dah dilakukan semenjak lama dulu. Mungkin inilah salah satu cara CJS beramal kebajikan dan berdakwah secara tersirat.

Ditanya mengenai pengalaman berpuasa di negara Thailand, CJS kata ianya amat mencabar sangatlah sebab di Thailand bukan macam di Malaysia. Kedai makan dibukak seawal pagi macam bulan2 biasa, dan buleh makan dikhalayak awam tanpa ada problem. Tiada istilah geng plastik hitam di Thailand. Jadi, segalanya adalah bergantong kepada keimanan yang kuat sajalah bila berpuasa di Thailand nih. Walau camna pon, itulah cabaran yang amat2 berharga bagi CJS ketika berpuasa di sana. Camna pulak dengan aktiviti solat sunat teraweh di sana? Okay, CJS kata solat sunat Taraweh di situ berjalan macam biasa, sebab area situ boleh kata ramai masyarakat muslim. Teraweh disana 20 rakaat tambah 3 rakaat witir. Kalau masjid yang besar (tumpuan pelancong) maka SOP solat berjarak diamalkanlah. Tapi kalau masjid kecik orang solat dengan prosedur biasa2 sajalah. Menurot CJS, area dia tinggal (Pak Bara dan Satun secara umomnya) buat masa ni tiada kes Covid19.

Mungkin ada yang bertanya, CJS ni dah jadi warga Thailand kah? Jawabnya adalah, CJS maseh warganegara Malaysia dan dia kena cop visa perkahwinan setahon sekali kat pejabat imigresen sana. Anak dia pulak adalah warganegara Thailand sebab dilahirkan disana. Yang best nya nanti, anak dia akan membesar dengan menguasai 3 bahasa utama lah, Bahasa Inggeris, Siam dan Melayu dialek utara Nohhh! Sebagai info tambahan, warganegara Malaysia yang tinggal di Thailand wajib cop pasport setiap dua bulan sekali di imigresen. Inilah yang dilakukan oleh CJS setiap 2 bulan untok teros tinggal disana. Kalau tak cop? Heh..bersiap sedialah untok dihantar ke Nepal.

MISI MENYELAMATKAN JENAZAH SAUDARA BARU/MUALAF DARIPADA DIBAKAR

Ini adalah cerita menarek untok kita jadikan pengajaran dan tauladan dimasa depan. Mari ikoti cerita dari CJS nih…

Ceritanya begini… Seorang Warga Malaysia (asal Tumpat Kelantan) telah memeluk Islam di Thailand dan bernikah dengan warga Thai (muslim) dan tinggal hampir 25 tahun di wilayah Satun.”

“Sebelum Covid menyerang Malaysia dan seluroh dunia, dia balik ke Tumpat Kelantan. Tiba-tiba kerajaan kedua negara menutup pintu sempadan. Maka dia tersadai di Kampung halamannya. Kebetulan penduduk kampungnya majoriti terdiri dari Siam Buddha, dan tidak tahu bahawa dia telah memeluk Islam 25 tahon nan silam. Menurot sumber2 disana, pada 2hb April 2021 dia mengadu sakit dada ketika minum kopi dan sejurus selepas itu meninggal dunia. Setelah disahkan doktor mayatnya dibawa pulang dan disimpan di Wat Buddha dikampungnya (Tumpat, Kelantan). Selepas kejadian itu, adek arwah terus menghubungi isteri arwah di Satun untok bagitau yang suaminya meninggal dunia.”

Oleh kerana isteri arwah difahamkan bahawa mayat suaminya akan dibakar ikot agama buddha (sebab dorang tak tahu yang jenazah tersebot dah convert jadi muslim) maka isteri arwah menghubungi Saya (CJS) melalui bapa mentua Saya pada pagi hari Sabtu. Bila Saya dapat tahu hanya ada lagi 4 jam masa untuk dibakar, dan kebetulan pagi itu hujan pulak (Saya tak dak kereta masa tu), nak tak nak Saya redah dengan motor sejauh 60km untuk mendapat segala dokumen bagi membuktikan bahawa arwah telah memeluk Islam.

Sebelum berangkat ke pejabat, Saya hubungi Abe Mat Gi Mukoh Nga Mutor ( Diami Yusoff ) untuk menghubungi Pejabat Agama Tumpat dan membuat satu hantaran di Facebook untuk memaklumkan pada orang ramai bagi memberi bantuan awal. Kebetulan hari Sabtu cuti hujung minggu. Nasib baik Saya kenal rapat dengan Kadi Besar dan kakitangan Majlis Agama Satun. Ini kerana kami memerlukan dokumen asal untuk dihantar ke Pejabat Agama Tumpat bagi menuntut mayat arwah. Segala dokumen asal seperti sijil memeluk Islam, sijil masuk jawi, sijil nikah dan sijil lahir anak-anak arwah Saya scan dan forward kepada Abe Mat ( Diami Yusoff ) dengan segera.”

Dipendekkan cerita segalanya selesai tanpa sebarang masalah kerana semua dokumen2 yang Saya scan dan email tu telah membuktikan bahawa arwah telah memeluk Islam 25 tahun lalu. Maka, jenazah saudara kita itu dapat diambil semula oleh pihak berkenaan dan telah dimakamkan mengikut cara Islam. Tak lama lepas tu Saya dihubungi oleh Insp. Firli, anggota Polis Tumpat untuk mengucapkan Terima Kasih. Dan hasil daripada tindakan Saya tu, FB Saya kena block seminggu atas sebab berkongsi gambar passport arwah. Tak pa lah, yang penting kita dapat selamatkan jenazah saudara kita tu. Alhamdulillah…”

“Kadang2 tu, Saya berkongsi info di Facebook bukan nak tayang kehebatan atau nak menunjok-nunjok kebaikan. Niat Saya nak sampaikan maklumat kepada yang memerlukan jika menghadapi kesulitan. Tapi adatlah, tetap ada yang mengecam jugak niat baik tu. Saya nak bagi tau kepada mereka diluar sana, bahawa SEPUPU hangpa ada di Satun Thailand dan InshaAllah boleh membantu hangpa walaupun dia sekupang pon tak dapat untong. Maknanya, InshaAllah Saya akan cuba tolong selagi termampu tanpa mengharapkan apa2 bayaran. Life is too simple. Don’t make it too complicated. Kejayaan orang lain adalah kejayaan untuk kita raikan bersama. Kenapa nak cemburu? Berdoa agar kita dan mereka diampuni segala dosa-dosa.”

“Salam Ramadhan dan Salam Syawal 1442 hijrah kepada seluruh rakyat Malaysia. Salam persahabatan kepada rakan-rakan bukan muslim.

” Akhlak Yang Baik Adalah Dakwah Yang Terhebat “
Cikgu Joe Satun

Begitulah serba sikit cerita daripada brader CJS kita di Pak Bara, Satun Thailand. Kepada raider2 Malaysia yang teringin nak ride di area Pak Bara lepas covid19 tammat nanti, bolehlah singgah kat kedai CJS. Dia adalah sepupu bagi kita semua oyeahhh! Oh ya, CJS ada bagi info bahawa dia nak buat majlis korban di sebuah pulau disana time Raya Haji nanti. Katanya masyarakat Muslim di pulau tu belom pernah buat lagi acara korban, dan ianya berkemungkinan besar atas kekurangan kemampuan dari segi duit. Maka CJS bercita cita nak buat lah acara korban di pulau tu tahon nih. Modalnya sekitar RM4-5K, dan buat masa ni dia sedang kumpol lah modal tuh. Kebanyakkan kerja2 bagi sumbangan pada bulan posa adalah menggunakan duit poket dia sendiri (ada la sikit2 sumbangan dari kawan2). Maka, Gua sekadar nak bukak peluang sajalah kat kawan2 kita yang membaca artikel nih, kot kot lah ada niat nak turot sama membantu apa2 yang termampu, bulehlah kontek CJS. Cari CJS di FB, taip aja Cjs Karlisa Latisya. Berhubonglah dengan dia secara direct untok apa2 sumbangan bagi membantu masyarakat muslim kita di Satun Thailand. Kalau di Malaysia kita berbangga dengan Ebit Liew, maka di Thailand, mungkin CJS adalah individu yang buleh kita banggakan jugak. Cuma Ebit Liew punya aktiviti banyak dapat sumbangan dari orang ramai, manakala CJS pulak banyak keluar dari poketnya sendiri, so tak banyak sangatlah yang dia buleh contribute kan. Maka, apakata kita pakat2 huloq bagi lebeh sikit kat CJS demi menolong saudara kita di Satun Thailand. Ayoh Fastabiqulkhairat. Berlumba lumba buat baik ! InshaAllah…Aminnn..

 

What do you think?

Avatar

Written by Editor

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

YAMAHA NVX TERBARU KINI DILANCARKAN! HARGA BERMULA RM 8,998.00

PERNIKAHAN TERLARANG KAWASAKI RR 150 DAN YAMAHA TZM 150