Mforce Bike Holdings Sdn Bhd sentiasa komited dalam memastikan motosikal-motosikal yang dikeluarkan adalah mampu milik untuk pasaran Malaysia tanpa mengabaikan spesifikasi-spesifikasi yang terkini. Oleh itu, Mforce menerusi jenama WMOTO telah melancarkan sebuah motosikal kategori kapcai iaitu SM125i dengan harga asas RM5,888.00 sahaja tidak termasuk insurans dan cukai Jalan.
WMOTO SM125i ini dipacu enjin 123.7cc silinder tunggal, 4-lejang SOHC dengan sistem bahan api suntikan elektronik. Padanan transmisi yang digunakan adalah jenis empat kelajuan dan ia mampu menghasilkan kuasa maksimum 5.8kw pada 8,000rpm dan tork 8.5 pada 6,000rpm.
Pada bahagian hadapan motosikal ini, terdapat suspensi jenis teleskopik, manakala di belakang terdapat dua penyerap hentak. Tayar hadapan pulak dilengkapi dengan brek cakera manakala belakang menggunakan jenis dram.
Menariknya, WMOTO SM125i merupakan motosikal kapcai 125cc yang pertama menggunakan panel meter pelbagai warna. Walaupun dengan konsep motosikal ekonomi, model terbaharu WMOTO ini dilengkapi dengan lampu LED penuh pada lampu hadapan, lampu penunjuk arah dan juga lampu belakang.
Selain itu juga, model ini turut menyediakan kemudahan untuk penunggang seperti sistem kunci anti kecurian, soket pengeccas dan juga ruang simpanan bawah tempat duduk yang cukup untuk menyimpan barangan peribadi anda. Dengan berat cuma 96kg, ia memberikan kemudahan pengendalian kepada penunggang.
WMOTO SM125i disediakan dengan tiga warna pilihan iaitu Radiant Yellow, Luminous Blue dan juga Blazing Red. Dengan setiap pembelian WMOTO SM125i, para pembeli boleh menikmati jaminan waranti perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.
Comments
Loading…